TLDM Komited Bantu Urus Ex KD Rahmat Yang Senget Di Lumut


LUMUT - Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) komited membantu syarikat yang bertanggungjawab menguruskan bekas Kapal Diraja (KD) Rahmat yang mengalami kebocoran sehingga sebahagian badannya senget di persisiran pantai berhampiran Marina Waterfront di sini, kelmarin.

Panglima Armada, Laksamana Madya Datuk Seri Mohamad Roslan Mohamad Ramli berkata sejak pukul 11.30 pagi semalam, pihaknya giat menjalankan kerja-kerja mengepam keluar air dari kapal dikenali sebagai 'Ex KD Rahmat' itu dan masih berlarutan sehingga kini.

"Anggota TLDM akan bergilir-gilir mengepam keluar air dari kapal itu selama 24 jam berturut-turut sehingga ia selesai dan ditegakkan semula kerana kapal itu pernah berkhidmat dengan kami.

"Sehingga kini, proses pengepaman menunjukkan perubahan apabila air dalam kapal berada di bawah paras air laut dan kita juga telah menutup saluran keluar air supaya air tidak masuk lagi," katanya dalam sidang media di sini, semalam.

Semalam, Ex KD Rahmat dikatakan mengalami kebocoran kira-kira pukul 3 pagi menyebabkan sebahagian badannya senget sehingga gambar kapal itu tular di media sosial Facebook.

Selepas dilucut tauliah beberapa tahun lalu, Ex KD Rahmat diserahkan kepada syarikat Plus Asia Jaya (Perak) Sdn Bhd oleh kerajaan negeri Perak sebelum dijadikan muzium atau kapal pameran kepada orang awam sejak 2011, namun ditutup Ogos tahun lalu atas faktor keselamatan.

Menjelas lanjut, Mohamad Roslan berkata kebocoran menyebabkan sebanyak 10 daripada 13 bahagian kapal di dek paling bawah dimasuki air termasuk bilik enjin dan bilik peluru, namun jumlah kerugian belum diketahui.

Katanya, kapal itu diserahkan kepada kerajaan negeri Perak seterusnya dijadikan monumen dalam usaha menjadikan bandar Lumut yang dikenali sebagai bandar TLDM lebih menarik.

"Kita tidak menolak kemungkinan terdapat injap kapal yang bocor menyebabkan air masuk ke dalam kapal sehingga ia senget di bahagian kiri," katanya.

Mohamad Roslan berkata selain TLDM, pihaknya turut menerima bantuan daripada kerajaan negeri dan syarikat Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) bagi membantu menyelamatkan kapal tersebut daripada tenggelam.

Sementara itu, Pengarah Urusan Syarikat Plus Asia Jaya (Perak) Sdn Bhd, Datuk Loi Kong Yam berkata pihaknya bertanggungjawab sepenuhnya atas insiden yang berlaku dan akan menyelesaikan masalah itu dengan segera.

Loi dalam pada itu berterima kasih kepada TLDM dan kerajaan negeri kerana membantu memperbetulkan semula kedudukan kapal itu.

"Setakat ini kita percaya proses menegakkan semula kapal ini dijangka siap dalam masa dua hingga tiga hari lagi sebelum membuat pemeriksaan dan menilai kerugian," katanya. - BERNAMA