BAGAN DATUK - Timbalan Perdana Menteri melancarkan program Inspirasi Ramadan, UPSR dan SPM Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim) 2017 peringkat kebangsaan dan peringkat negeri Perak di sini semalam.
Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi tiba di tapak pelancaran di Padang Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) Selekoh pada pukul 6.15 petang dengan disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Yapeim, Datuk Abibullah Samsudin.
Di bawah program kali ini, sebanyak RM10 juta disediakan untuk disumbangkan kepada 181,939 pelajar melibatkan 3,423 buah sekolah di seluruh negara.
Untuk program yang sama bagi peringkat negeri Perak, sebanyak RM680,000 disediakan untuk disumbangkan kepada 12,600 murid di 342 buah sekolah di Perak.
Timbalan Perdana Menteri turut menyampaikam sumbangan program Inspirasi Ramadan, UPSR dan SPM kepada penerima di majlis pelancaran tersebut.
Beliau kemudiannya berbuka puasa bersama tetamu dan menunaikan solat Maghrib di Masjid Al-Khairiah, Selekoh di sini.
Sumber: Utusan Online