Trek Kuda Lasak Endurance Sukan Sea 2017 90 Peratus Siap


KUALA NERUS - Trek bagi acara perlumbaan kuda lasak Endurance sempena Sukan Sea 2017 di Terengganu International Park, Lembah Bidong, Setiu kini sudah 90 peratus siap.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata satu majlis prapembukaan melibatkan peserta dari luar negara akan diadakan di venue itu selepas Aidilfitri.

"Kita bercadang untuk mengadakan persembahan akrobatik kuda melibatkan peserta dari negara luar khususnya dari negara China.

"Kita yakin dengan pemilihan Terengganu sebagai venue untuk acara Endurance, ia bukan sahaja akan memperkenalkan Terengganu sebagai antara lokasi sukan kuda lasak terkemuka dunia malah merancakkan lagi sektor pelancongan negeri ini.

"Ini bertepatan dengan promosi sempena Tahun Melawat Terengganu 2017 yang sedang berlangsung kini," katanya kepada pemberita.

Beliau merasmikan pertandingan Futsal Sahur Challenge 2017 anjuran Pemuda UMNO kawasan Dewan Undangan Negeri Seberang Takir di ASC Sports Planet, Gong Badak awal pagi Jumaat.

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin (gambar) akan turut mewakili kontinjen negara bagi acara Endurance itu.

Baginda merupakan antara empat ekuestrian terbaik negara yang kini berada dalam ranking dunia Persekutuan Ekuestrian Antarabangsa (FEI). - Bernama