KUALA LUMPUR - Setiap anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) harus peka terhadap keadaan dan perubahan geopolitik semasa dalam memastikan kesiapsiagaan pasukan untuk berdepan apa-apa jua situasi yang boleh mengancam kedaulatan negara.
Panglima Tentera Udara, Jeneral Datuk Seri Affendi Buang berkata, setiap pegawai dan anggota perlu sentiasa peka dan memberi sumbangan yang dapat menjaga keselamatan ruang udara negara tanpa mengira nilai sumbangan itu besar atau kecil.
Katanya, TUDM merupakan satu daripada tiga cabang utama di dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan bersama-sama Tentera Darat dan Tentera Laut Diraja Malaysia untuk memastikan kedaulatan dan keselamatan negara terus dipertahankan.
“Setiap anggota TUDM perlu peka dengan perubahan geopolitik serantau dan global khususnya yang boleh menggugat kedaulatan negara.
“Kepekaan serta jenis sumbangan itu tidak boleh dinilai sama ada kecil atau besar, kerana sumbangan kecil itu akan boleh memberi impak yang besar,” katanya semasa menyampaikan Perutusan sempena Hari Ulang Tahun TUDM Ke-59 di Pangkalan Subang dekat sini hari ini.
Sumber : Utusan Online