Tuduhan Sarawak Report Terhadap PM Adalah Fitnah - Bekas KPN


KUALA LUMPUR -  Laporan portal Sarawak Report yang mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyalurkan wang sebanyak RM9.5 juta kepada peguam, Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah adalah satu perbuatan fitnah dan menyeleweng daripada fakta sebenar.

Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, ini kerana portal Malaysiakini pada 8 Ogos 2015 pernah melaporkan bahawa akaun AmBank milik Najib telah ditutup pada 30 Ogos 2013 dan beliau mempersoalkan bagaimana akaun yang sudah ditutup boleh digunakan untuk menyalurkan wang.

Menurutnya. Muhammad Shafee telah menjadi mangsa fitnah pihak-pihak tidak bertanggungjawab sama seperti yang pernah beliau alami ketika mengendalikan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim apabila dituduh menerima wang sebanyak RM5 juta daripada Tun Dr. Mahathir Mohamad.


"Sedikit pencerahan berkaitan apa yang telah dikeluar­kan oleh media di dalam blog berkaitan dengan laporan Sa­rawak Report, bagi saya ini adalah satu permainan politik yang saya anggap cuba untuk keluarkan kenyataan dan fakta-fakta yang tidak betul.

"Saya berharap pihak polis dapat menjalankan siasatan di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana memberi maklumat palsu bagi tujuan memudaratkan seseorang,” katanya dalam sidang akhbar di sini, semalam.

Sarawak Report baru-baru ini dalam laporannya mendakwa RM9.5 juta daripada SRC International iaitu anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) telah disalurkan ke akaun peribadi Muhammad Shafee melalui transaksi dua pembayaran iaitu pada 11 September 2013 dan 17 Februari 2014.

Dalam perkembangan sama, Musa turut mempersoalkan siapa Timbalan Ketua Polis Negara yang dimaksudkan oleh Sarawak Report dalam laporan bertajuk Why Shafee Was Considered A Material Witness yang didakwa mengadakan pertemuan secara sulit bersama Najib dan Muhammad Shafee.

Katanya, pada ketika itu, beliau adalah Ketua Polis Negara dan menegaskan bahawa tiada sebarang pertemuan sulit berlaku seperti didakwa portal berkenaan.

Sementara itu, Musa turut menyangkal kebenaran teks perbualan bertarikh 8 November 2006 di dalam blog Steadyaku47 yang didakwa milik Najib dan Muhammad Shafee berkenaan kes melibatkan Abdul Razak Ba­ginda iaitu suspek yang terlibat dalam kehilangan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

“Dalam teks itu ada menyebut saya (Najib) sudah bercakap dengan Ketua Polis Negara, anda boleh mewakili dan berjumpa Abdul Razak Baginda di mahkamah. Ini seolah-olah saya telah dimaklumkan oleh Datuk Seri Najib pada masa itu, Timbalan Perdana Menteri, berkaitan kehadiran Muhammad Shafee. Untuk makluman, 8 November 2006, saya tiada di Kuala Lumpur.

“Pada ketika itu saya menghadap Sultan Perak untuk menerangkan satu kes penyiasatan lain. Jadi, bagaimana Najib boleh bercakap dengan saya sedangkan saya tiada di Kuala Lumpur,” tegasnya.

Sumber : Utusan