Tudung Ariani "Copy" Dirampas KPDNKK

Tudung Ariani 'copy' dirampas

KUALA LUMPUR - Mengaut untung dengan cara mudah dengan menjual tudung berjenama Ariani yang diciplak akhirnya memakan diri.

Ia berikutan serbuan yang dijalankan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kepenggunaan (KPDNKK), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) di sebuah premis di Jalan Tuanku Abdul Rahman, dekat sini, kelmarin.

Ketua Pegawai Penguatkuasa negeri, Wan Mhd Yusof  W Taib berkata, serbuan dijalankan kira-kira jam 3 petang hasil maklumat dan risikan.

Menurutnya, dalam pemeriksaan premis jualan secara runcit dan borong itu, dapati menyalahi hak cipta ke atas karya seni corak tudung Ariani.

"Sebanyak 643 helai tudung beserta buku resit dianggar bernilai RM18,650 dirampas.

"Kita turut mengambil keterangan daripada dua pekerja premis untuk membantu siasatan," katanya.

Beliau berkata, siasatan awal dapati premis ini mula menjual tudung tersebut sejak Mac lalu.

Dipercayai, corak daripada tudung Ariani ini akan 'dicopy' di sebuah kilang sebelum dijual secara runcit dan borong untuk pasaran sekitar dan beberapa negeri lain.

Katanya, premis yang dimiliki warga asing ini dikatakan menjual tudung terbabit dengan harga runcit RM25 dan sekiranya pelanggan membelinya dengan jumlah 100 helai dan lebih, ia akan dijual dengan harga RM13.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1)(d) Akta Hak Cipta 1987.

Sumber: Sinar Harian