Tukang Urut Pakai Nombor Untuk Mudah "Dipilih"

 Tukang urut pakai nombor untuk mudah 'dipilih'

SERI KEMBANGAN - Tukang urut akan dibariskan dan boleh memilih mengikut nombor yang dipaparkan pada baju yang dipakai oleh perempuan berkenaan.

Itu antara 'tarikan' pusat refleksologi di sini, yang dibongkar sepasukan Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Selangor, selepas disyaki menawarkan aktiviti seks untuk lelaki hidung belang.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, Ops Noda diketuai Pegawai Turus D7 Selangor, Deputi Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim menyerbu premis berkenaan kira-kira jam 1 pagi, kelmarin.

Menurutnya, pihaknya telah menahan 15 wanita warga asing berusia lingkungan 23 hingga 36 tahun disyaki pekerja seks membabitkan warga Indonesia, Vietnam dan Thailand.

"Siasatan dapati premis ini menyediakan bilik khas untuk kegiatan terbabit.

"Kita telah merampas kondom, tisu serta wang tunai selain menahan seorang lelaki tempatan dipercayai penjaga premis," katanya.

Mengulas lanjut, premis ini disyaki menyediakan perkhidmatan urutan badan ke badan dan seks dengan harga RM140 hingga RM180.

Malah, risikan polis juga mendedahkan premis beroperasi setiap hari dari jam 12.00 tengah hari sehingga awal pagi.

Dalam pada itu, polis turut menyerbu empat premis hiburan dan pusat urutan di Subang Jaya, Petaling Jaya dan Klang. 

"Kita telah menahan seramai 56 individu termasuk pekerja, penjaga premis dan pelanggan bagi membantu siasatan," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen 1959, Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen

Sumber: Sinar Harian