ALOR SETAR - Umat Islam di negara diingatkan menjaga lidah mereka agar tidak membuat fitnah dan dusta bagi menjatuhkan maruah dan kehormatan orang lain.
Perbuatan keji seperti itu diharamkan oleh Allah SWT kerana boleh menjadi penyebab kepada kepada kebencian, sekaligus mengundang perbalahan sesama umat Islam.
Mereka yang tidak menjaga lidah (membuat fitnah) adalah seperti berbuka puasa dengan daging manusia.
Perkara itu ditekankan dalam khutbah Hari Raya yang disampaikan oleh para khatib selepas solat Sunat Aidilfitri. Teks khutbah itu ditulis Datuk Syeikh Abdullah Awang Sa dari Bahagian Dakwah, Jabatan Agama Islam Negeri Kedah
Tabiat buruk itu, menurut Syeikh Abdullah akan menghiris hati sesama manusia seterusnya menyemarakkan api permusuhan yang mampu memusnahka perpaduan rakyat serta negara yang aman ini.
Menurut penulis itu lagi , zaman ini adalah zaman fitnah dan dunia sedang bergolak di mana negara Islam yang dulunya kuat dan kaya kini tumbang satu demi satu.
Lihat sahaja beberapa negara di Timur Tengah, walaupun rakyatnya terikat dengan satu agama dan satu budaya, kini mereka hampir berperang sesama sendiri.
Ia berlaku bukan secara kebetulan, tetapi tentu sekali ada dalang yang memercikan api bagi mencetuskan persengketaan, ujarnya.
Oleh itu, katanya, berwaspadalah dengan " tangan-tangan ghaib" ini kerana musibah yang berlaku di negara Arab itu tidak mustahil boleh menimpa negara ini walaupun masih menikmati keamanan.
"Mimbar ingin berpesan bahawa 'tangan-tangan ghaib' itu ingin negara ini juga hancur dengan memperkuda kita sebagai dalang perselisihan faham, dalang perpecahan dan menyemarakkan kebencinan sesama kita, " kata penulis lagi.
Menurut Syeikh Abdullah, walaupun orang terdahulu telah berusaha gigih bagi memerdekakan negara, umat Islam perlu sedar penjajah masih menanam berbagai 'periuk api' untuk memusnahkan negara ini.
Berbagai bentuk peninggalan penjajah bagi menghancurkan negara masih aktif dan menular di dalam masyarakat.Malaysia.
Katanya, mereka berusaha melagakan para pemimpin dan ulamak serta melalaikan anak-anak muda Islam dengan keseronokan dan kebebasan yang berlebihan. - Kedahnews.com