Umat Islam Diundang Tunai Solat Sunat Aidilfitri Bersama Raja Perlis Di Masjid Arau


KANGAR - Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail dan Raja Perempuan Perlis Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid akan menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Negeri Arau pada 1 Syawal ini.

Menurut kenyataan media Bahagian Protokol Pejabat Setiausaha Kerajaan Perlis, turut berangkat menyertai baginda berdua ialah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shareen Akashah Khalil.

Menteri Besar Datuk Seri Azlan serta Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Hamdan Bahari turut dijadualkan menunaikan solat sunat Aidilfitri bersama keluarga diraja tersebut.

Sehubungan itu, umat Islam khususnya yang tinggal di Arau, diminta agar bersama-sama Tuanku Syed Sirajuddin menunaikan solat sunat Aidilfitri di masjid berkenaan.

Menurut kenyataan itu Tuanku Syed Sirajuddin dan Tuanku Tengku Fauziah juga berkenan menerima mengadap dif-dif kehormat serta orang ramai di Dataran Majlis Istana Arau pada majlis Istana Terbuka Aidilfitri selepas selesai solat dari 9 sehingga 11.30 pagi. - BERNAMA