UMNO Dan PAS Banyak Persamaan - Takiyuddin


KOTA BHARU - Hubungan baik antara pemimpin UMNO dan PAS di Kelantan dan Terengganu kini 'ibarat air yang dicincang tidak akan putus'. Demikian juga di peringkat pemimpin tertingi, ada kalanya mereka bergandingan tangan bila berdepan isu agama, bangsa Melayu dan perpaduan Islam.  

Pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), Ketua UMNO Bahagian Kota Bharu, Tan Sri Mohamad Fatmi Che Salleh dan Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan adalah 'seteru' yang merebut kerusi Parlimen Kota Bharu

Namun kini, kedua-dua pe­mimpin itu dengan semangat perpaduan dan Islam boleh duduk sepentas pada Program Ziarah Kasih Ramadan Al-Mubarak 2017 Parlimen Kota Bharu di Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjong Mas di sini, semalam.

Program itu disempurnakan oleh Pengerusi Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji), Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.

Lebih menarik, Mohamad Fatmi turut menjemput Takiyuddin memberi ucapan sebagai tanda mengalu-alukan kedatangan Ahli Parlimen Kota Bharu itu dalam majlis yang dianjurkan oleh UMNO.

Dalam program tersebut, Takiyuddin juga menyertai Abdul Azeez dan Mohamad Fatmi menyampaikan sumbang­an kepada kira-kira 1,500 penerima.

Difahamkan Takiyuddin dijemput oleh Abdul Azeez bagi sama-sama menyertai program yang bertujuan membantu rakyat itu.

Mohamad Fatmi yang juga Pe­ngerusi Kumpulan Utusan berkata, orang UMNO menerima dengan hati dan tangan terbuka kedatangan wakil rakyat PAS  dalam majlis tersebut.

Katanya, situasi tersebut me­nunjukkan bahawa UMNO merupakan parti yang mengalukan-alukan semangat perpaduan dan tidak suka kepada perpecahan khusus­nya melibatkan sesama Islam.

“Kita sambut dengan baik malah saya memberi ruang kepada beliau (Takiyuddin) berucap kerana kita hendak mengalu-alukan semangat ke­satuan dan perpaduan sesama Islam,” katanya kepada pemberita se­lepas majlis tersebut.

Terdahulu ketika berucap, Takiyuddin mengakui bahawa PAS dan UMNO mempunyai banyak kebersamaan namun atas sedikit perbezaan satu ketika dahulu, kedua-dua parti tersebut berbalah.

Bagaimanapun katanya, sejak ak­hir-akhir ini, persefahaman kedua-dua parti itu dilihat semakin tinggi terutama melibatkan kerjasama de­mi kepentingan rakyat dan Islam.

“Kita sebenarnya punyai banyak persamaan, tetapi dahulu kita lebih pentingkan perbezaan,” katanya Takiyuddin lagi.

Sumber: Utusan