UMNO Kalabakan Tak Gentar Parti Lawan, Yakin Pengundi Sokong BN Pada PRU-14


TAWAU - UMNO Bahagian Kalabakan tidak gentar berdepan dengan mana-mana parti lawan dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 kelak dan yakin pengundi akan memberi sokongan padu kepada Barisan Nasional (BN).

Ketua bahagian itu, Datuk Seri Abdul Ghapur Salleh berkata keyakinan itu wujud seiring dengan gerak kerja jentera di kawasan itu yang konsisten, tidak bermusim dan aktif melaksanakan pelbagai program di seluruh pelosok bahagian itu.

"Pemimpin daripada sayap Wanita, Pemuda dan Puteri aktif melaksanakan aktiviti turun padang, bukan sekadar untuk mendekati masyarakat akar umbi, tetapi juga untuk mendengar keluhan dan permasalahan mereka," katanya.

Abdul Ghapur yang juga Ahli Parlimen Kalabakan berkata demikian pada Majlis Jelajah Berbuka Puasa UMNO Kalabakan, di Masjid As-Solehin, Kg Haji Matahir di sini semalam.

Katanya setiap kali pihaknya mendapat maklumat berkaitan isu masyarakat, perkara tersebut akan diteliti dan diberikan tindakan yang sewajarnya, atau terus dibawa ke pengetahuan pihak atasan bagi mencari jalan penyelesaian.

Hadir sama pada program itu, ialah Anggota Dewan Undangan Negeri Sebatik merangkap Timbalan Ketua UMNO Kalabakan, Datuk Abdul Muis Picho. - Bernama