Van Terbabas: Pemuda Jadi Pemandu Pusat Tahfiz 5 Bulan Lalu

van_tafik_2600

PETALING JAYA - Pemandu van yang terbabas sehingga meragut nyawa 7 pelajar di Kuala Krai semalam menjadi pemandu di pusat tahfiz itu 5 bulan lalu.

Pengasas Pusat Tahfiz Al-Hashimi di Kampung Tualang, Datuk Adnan Hashim yang dipetik Harian Metro berkata, selain menjadi pemandu, Muhammad Hamzi Muhammad Husyam juga adalah guru agama di pusat itu.

Katanya, Hamzi ialah pemandu berpengalaman kerana pernah membawa pelajar tahfiz menyertai program agama, khasnya di Kota Bharu.

“Beliau bekerja dengan kita sejak 5 bulan lalu dan sangat bertanggungjawab,” katanya kepada akhbar itu, semalam.

Beliau berkata, pemuda berusia 24 tahun itu yang turut cedera dalam kemalangan semalam, dirawat di Hospital Machang.

Tujuh pelajar tahfiz terbunuh, manakala 7 lagi parah apabila van yang mereka naiki terbabas di Jalan Kuala Krai-Kota Bharu di Kampung Telekong, pagi semalam.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan, Nazili Mahmood dilaporkan berkata, van yang membawa pelajar tahfiz dalam perjalanan dari Kuala Krai ke Kota Bharu itu, dikatakan terbabas ke dalam parit sebelum merempuh sebuah rumah penduduk.

Dalam pada itu, Bernama melaporkan jenazah 3 pelajar terkorban itu dikebumikan dalam 1 liang lahad di Pusat Tahfiz Al-Hashimi, Kampung Tualang pada jam 11.25 malam tadi.

Jenazah Mohamad Hafiz Aimullah Mustafa, 18, Nik Shah Jehan Nik Azmi, 16, dan Muhammad Hakimi Muhammad Dahalan, 17, disembahyangkan di masjid pusat tahfiz itu selepas dibawa keluar secara berasingan dari Jabatan Forensik Hospital Kuala Krai sejak 9.30 malam tadi.

Jenazah seorang lagi mangsa korban – Nik Ahmed Daniel Nik Ahmed Rithaudeen, 14, yang dikatakan akan dikebumikan bersama rakannya, bagaimanapun dituntut ibu bapanya dari Shah Alam, Selangor kira-kira 6.30 petang semalam untuk dikebumikan di kampung halamannya di Panji, Kota Bharu.

Jenazah Muhammad Rahman Rozali, 18, dibawa pulang ke kampungnya di Kampung Tok Dor Soh, Bachok, manakala jenazah Ahmad Farhan Zulkifli, 14, dibawa pulang ke Dabong di Kuala Krai dan pelajar warga Thailand, Sarifuddin Muhammad, 14, dibawa pulang ke Pattani.

Suasana sayu dan pilu menyelubungi perkarangan pusat tahfiz sebaik sahaja ketiga-tiga jenazah pelajar itu tiba dan ketika majlis pengebumian berlangsung.

Puluhan penduduk, pelajar tahfiz dan ahli keluarga mangsa menyaksikan 3 jenazah itu diturunkan ke dalam liang lahad ketika hujan renyai-renyai.

Sumber: FMT