Vietnam Rampas 500,000 Pil Ekstasi Bernilai AS$8.8 Juta


HANOI – Vietnam berjaya menumpaskan rangkaian dadah terbesar di negara itu apabila merampas dadah jenis kristal methamphetamine metilenadioksi (MDMA) atau pil ekstasi bernilai AS$8.8 juta (RM37.67 juta).

Lebih 20 orang ditahan dalam serbuan ke atas 13 makmal dadah oleh pihak polis di sekitar bandar Ho Chi Minh kelmarin, lapor Agensi Berita Vietnam.

Pihak polis turut merampas sebanyak 500,000 biji pil ekstasi, 120 kilogram serbuk dadah selain wang tunai berjumlah AS$440,000 (RM1.8 juta) di dalam tujuh kereta berasingan.

Suspek ketua rangkaian dadah itu, Van Kinh Duong, 36, pernah menjalani hukuman penjara pada tahun 2008 kerana memiliki dadah sebelum dia melarikan diri dan memulakan perniagaan pengeluaran dadah bersama keluarganya.

Menerusi nama palsu, dia kemudian menubuhkan sebuah rangkaian dadah di bandar Ho Chi Minh, Hanoi dan pusat-pusat wilayah yang kebanyakannya terletak di selatan Vietnam.

Dia berjaya ditahan semula pada April lalu.

Kira-kira 200,000 pil yang mengandungi dadah jenis MDMA telah dijual oleh rangkaian itu sejak awal tahun 2016.

Vietnam memiliki sejumlah undang-undang dadah yang ketat. Mereka yang didapati bersalah menghasilkan atau menjual lebih 300 gram dadah berhadapan dengan hukuman mati.

Sumber: Kosmo