Walau Corot, Faiz Subri Sedia Kekal Di Pulau Pinang

Image result for FAIZ SUBRI

PEMAIN sensasi Pulau Pinang, Mohd. Faiz Subri mengakui dia akan terus menabur bakti kepada pasukannya dalam misi membantu skuad Harimau Kumbang kekal dalam kancah Liga Super musim 2018.

Sebagai rekod, skuad kendalian Zainal Abidin Hassan itu kini bergelut di tangga tercorot liga apabila sekadar mengutip enam mata daripada 13 perlawanan, sekali gus gagal melayakkan diri ke saingan Piala Malaysia musim ini.

Situasi tersebut tidak membuatkan Mohd. Faiz mahu berhijrah ke pasukan lain pada jendela pendaftaran kedua ketika ini, malah membakar semangatnya untuk membantu skuad Harimau Kumbang mengulangi magis terselamat daripada zon penyingkiran seperti yang dilakukan musim lepas.

"Saya akui, kami serba tidak menjadi pada pusingan pertama liga, namun saya percaya dengan keha­diran jurulatih (Zainal) dan beberapa pemain baharu pada sesi pendaftaran kedua ini akan membuatkan misi kami untuk kekal dalam Liga Super sebagai tidak mustahil.

"Saya lihat keserasian antara pa­sukan juga semakin baik. Mungkin selepas mengharungi beberapa perlawanan persahabatan yang diatur pada cuti rehat ini, persefahaman antara pemain akan bertambah selain bersedia untuk mengharungi semula saingan liga bulan depan," katanya.

Pemenang Anugerah Puskas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) 2016 itu ditemui ketika menghadiri majlis berbuka puasa anjuran Adidas Malaysia dan Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) di Petaling Jaya kelmarin.

Mengulas lanjut, Mohd. Faiz juga tidak mahu terburu-buru untuk berbincang mengenai masa depannya meskipun kontrak bersama Pulau Pinang akan tamat pada penghujung musim ini.

"Saya masih mempunyai kontrak bersama Pulau Pinang yang hanya akan tamat pada tahun ini. Sekiranya Pulau Pinang menawarkan kontrak baharu, saya tidak akan teragak-agak untuk menandatangani memandangkan saya sudah selesa di sini.

"Cuma, jika ada pasukan lain yang mahukan khidmat saya, mungkin perbincangan akan dibuat selepas musim ini tamat kerana fokus ­utama adalah untuk membantu pasukan terlebih dahulu," jelas pemain berusia 30 tahun itu.

Sumber: Kosmo