Walaupun Kalah, Tetap Berpuas Hati - Nelo Vingada


LARKIN -Pengendali Harimau Malaya, Nelo Vingada tetap berpuas hati dengan persembahan anak buahnya meskipun tewas tipis 1-2 kepada Lubnan pada aksi kelayakan pusingan akhir Kumpulan B Piala Asia di sini, malam Selasa.

Vingada berkata beliau akur dengan kekalahan itu dan enggan menyalahkan barisan pemain setelah pasukannya gagal memanfaatkan kelebihan beraksi di gelanggang sendiri untuk mengutip tiga mata berharga.

"Sudah semestinya saya kecewa dengan keputusan ini kerana kita melepaskan gol kepada lawan pada saat-saat akhir. Namun saya gembira dengan pemain kerana mereka sudah cuba melakukan yang terbaik untuk pasukan.

"Kekalahan juga pernah menimpa pasukan hebat seperti Real Madrid, jadi kita perlu bekerja keras untuk mencari formula terbaik dalam mempersiapkan pasukan menjelang aksi menentang Hong Kong pada September depan," katanya pada sidang media selepas tamat perlawanan, malam Selasa.

Malah kata Vingada, tempoh dua minggu yang ada untuk membentuk sebuah pasukan mantap sebenarnya tidak mencukupi.

"Pada latihan minggu pertama, hanya ada 16 pemain yang berlatih bersama pasukan kerana beberapa pemain lain mempunyai komitmen bersama kelab.

"Jadi kita tidak adakan aksi persahabatan yang sepatutnya diadakan pada minggu pertama kerana kita tidak cukup pemain," katanya.

Sehubungan itu, Vingada berkata, agak sukar bagi pemain yang diturunkan membentuk keserasian bersama dalam tempoh yang singkat.

"Pada separuh masa pertama, pemain memanfaatkan segala ruang dan peluang tapi mereka mula kepenatan pada 15 minit terakhir perlawanan.

"Ada kalanya pasukan yang kurang bersedia juga boleh menang tetapi rentak permainan kita yang sedikit terjejas akhirnya memberi kelebihan kepada pihak lawan," katanya.

Namun, pengendali kelahiran Portugal itu tetap yakin Harimau Malaya masih ada peluang untuk kekal dalam perlawanan tersebut.

Katanya, beliau mempunyai masa yang secukupnya untuk mengesan beberapa pemain yang boleh membawa kejayaan untuk pasukan pada aksi akan datang.

"Sudah semestinya kita akan bangkit dengan pasukan yang lebih kuat September ini. Saya juga akan menonton perlawanan beberapa pemain dari skuad bawah 22 tahun pada Julai dan Ogos ini.

"Mana tahu kita boleh mencari beberapa pemain bagus bagi menambahbaik pasukan sedia ada," katanya.

Sumber : Mstar Online