Biarpun seharian sibuk bekerja, waktu berbuka puasa pastinya menjadi ruang buat Che Ta atau Rozita Che Wan seisi keluarga berkumpul.
Pelakon dan pengacara jelita ini akui Ramadan diisi dengan pelbagai aktiviti bersama suami, Zain Saidin dan anak-anak, Ammar Effendy, 21, Aniq Ezzra, 19, dan Aaisyah Dhia Rana Zain, 2.
Katanya, dia lebih selesa berbuka puasa di rumah bersama keluarga tetapi apabila terikat dengan pelbagai urusan kerja, ada kalanya mereka tiada kesempatan berbuka di rumah.
“Kalau sibuk, kami sekeluarga berbuka puasa di hotel saja. Lebih mudah dan banyak pilihan makanan disediakan.
“Kalau berbuka puasa di rumah, saya pasti memasak hidangan lauk sendiri. Hanya kuih-muih dibeli manakala lauk saya akan masak makanan kesukaan suami dan anak.
“Makanan kesukaan Zain lauk ayam dan kuih kegemarannya onde-onde. Ammar sukakan apam balik. Aniq pula gemar udang dan kuih tepung pelita. Saya pula mesti ada martabak sebagai juadah berbuka,” katanya.
Sebagai isteri dan ibu, Che Ta akui selera suami dan anak menjadi keutamaannya untuk eratkan kasih sayang keluarga.
Che Ta, 44, yang hadir memeriahkan majlis bufet berbuka puasa Hotel ParkRoyal Kuala Lumpur baru-baru ini, ditemani Zain, 33.
Berbicara mengenai juadah berbuka, Zain akui sangat sukakan kuih-muih. Selain onde-onde, kuih kegemarannya badak berendam, lemang dan ketupat.
Katanya, makanan kampung memang menjadi pilihannya kerana ia mempunyai keenakan tersendiri.
“Kalau saya dan keluarga perlu berbuka di hotel, mesti hidangan masakan kampung yang dicari dulu,” katanya.
Zain akui tidaklah cerewet memilih makanan cuma apa yang paling utama baginya, makanan itu mesti sedap.
Masih berlakon walaupun tidak serancak dulu, Zain akui akan terima tawaran berlakon jika watak itu dirasakan sesuai.
Katanya, sekarang fokusnya adalah perniagaan dan sejak lebih setahun lalu dia membuat keputusan untuk memperlahankan karier seni agar fokus pada perniagaan.
“Biasalah, perniagaan kasut yang saya usahakan masih baru dan saya harus bekerja keras untuk memastikan perniagaan diceburi stabil.
“Apa pun, saya tidak pernah melupakan karier lakonan cuma kini saya selesa terima tawaran yang kecil,” katanya.
Zain beryukur kerana jenama kasut diperkenalkan makin diterima baik dan mendapat sambutan. Baru-baru ini, Zain turut menaja kasut untuk program Mentor Milenia 2017 dan acara Anugerah Bintang Popular Berita Harian 3.0 (ABPBH 3.0)
Sumber : MyMetro