KUALA LUMPUR - Pakatan Harapan yang diketuai DAP didesak menjelaskan kepada rakyat mengenai Kabinet bayangan yang dikatakan menyenaraikan Presiden PKR, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail sebagai Menteri Kewangan dan Presiden PAN, Mohamad Sabu sebagai Menteri Pendidikan.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, perkara itu dibangkitkan oleh bekas Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PKR, Badrul Hisham Shaharin dan semua pihak masih menunggu penjelasan daripada pimpinan Pakatan Harapan mengenai isu tersebut.
“Sehingga kini Pakatan Harapan masih berdolak-dalik dalam isu itu dan membiarkan rakyat tertanya-tanya kesahihan Kabinet bayangan itu,” katanya semalam
Badrul Hisham atau lebih dikenali sebagai Chegu Bard baru-baru ini berkata, Kabinet bayangan Pakatan Harapan dikatakan menyenaraikan Mohamad sebagai Menteri Pendidikan manakala Wan Azizah pula adalah calon Menteri Kewangan.
Menurut Puad, semua pihak tertanya-tanya mengapa Pakatan Harapan yang diketuai DAP masih gagal mengemukakan barisan pemimpin Kabinet bayangan gabungan tersebut.
“Kenapa sehingga kini Pakatan Harapan masih gagal mengumumkan senarai pemimpin yang akan menjadi anggota Kabinet mereka.
“Pakatan Harapan perlu meyakinkan rakyat, jadi mereka perlu umumkan senarai Kabinet itu.
“Kalau perkara seperti ini gagal dilakukan bagaimana mereka mahu mentadbir negara nanti,” katanya.
Sumber: Utusan Malaysia