Warga Emas Terima Tempahan Ketupat Palas Empat Kali Ganda Sepanjang Ramadan


DUNGUN - Kebiasaannya, Fatimah Muda, 63, akan menyiapkan tempahan ketupat palas sebanyak 400 biji setiap hari, namun sepanjang Ramadan ini, beliau mendapat tempahan empat kali ganda iaitu 1,600 biji ketupat palas setiap hari.

Warga emas itu mula berniaga ketupat palas sejak 26 tahun lepas hasil resipi turun-temurun keluarganya.

Beliau yang ditemui Bernama di rumahnya di Raja Wali di sini berkata untuk Ramadan kali ini, beliau menggunakan empat tenaga pekerja bagi menyiapkan tempahan harian.

"Rutin nenek bermula pukul 10 malam yang mana kesemua 24 kilogram beras pulut direndam sekurang-kurangnya selama empat jam.

"Selepas menunaikan solat subuh, nenek terus kukus semua beras pulut itu secara berperingkat bergantung kepada saiz periuk. Seterusnya proses membungkus ketupat ini menggunakan daun palas pun bermula sehingga habis kesemua 24 kilogram itu pada pukul 3 petang," katanya.

Menjelang Aidilfitri tahun ini pula, warga emas itu telah menerima tempahan sebanyak 7,000 biji ketupat palas berbanding sasaran asalnya hanya 5,000 biji sahaja.

Fatimah berkata walaupun masih ada pelanggan mahu membuat tempahan untuk Aidilfitri, beliau terpaksa menolaknya secara baik kerana risau tidak sempat menyiapkannya kerana peralatan memasak yang agak terhad di samping kekurangan tenaga pekerja.

Ditanya keistimewaan ketupat palasnya, Fatimah berkata ramai pelanggan mengakui rasa yang lebih enak dan lemak selain saiz yang lebih besar berbanding di pasaran.

"Lagipun, nenek jual murah sahaja. Jika yang ada sambal ikan di dalamnya, nenek jual 50 sen sahaja walaupun peniaga lain jual 70 sen.

"Jika ketupat palas kosong pula (tiada inti), nenek hanya jual tiga biji untuk RM1 walaupun peniaga lain jual 50 sen sebiji. Nenek tak kisah untung sikit. Nenek kira sedekah. Berniaga sambil beribadah," katanya tersenyum.

Sementara itu, seorang pelanggannya, Shahidah Ramli, 42, berkata setiap kali mahu pulang ke Kuala Lumpur, beliau akan singgah membeli ketupat palas daripada Fatimah kerana sukakan rasanya yang enak dan tidak mudah basi.

"Saya suka membeli dalam kuantiti yang banyak. Bila sampai di Kuala Lumpur, saya akan menyimpan separuh daripadanya di dalam bahagian sejuk beku peti ais. Pernah saya bekukan selama dua bulan. Ketupat palas nenek Fatimah memang tahan lama dan rasanya masih sedap.

"Untuk hari ini(semalam) pula, saya membeli 100 biji ketupat palas kerana mahu memberinya kepada kawan-kawan di sekolah," katanya yang bertugas sebagai guru di sebuah sekolah swasta. - BERNAMA