KISAH sahabat bersuamikan lelaki durjana yang sering menghadiahkan sepak terajang membawa makna besar kepada produser Datuk A. Aida apabila karya terbaharu Andainya Takdir menjadi viral.
Drama itu menaikkan kemarahan netizen kononnya sikap panas baran lakonkan Shukri Yahaya tidak berasas termasukah watak Nina Iskandar yang masih mengharapkan cinta lelaki walaupun didera.
Netizen mempersoalkan ketika ini masih adakah lagi wanita yang mencintai suami kaki pukul dan penerbitan drama itu menggambarkan sikap bodoh kaum berkenaan.
Lakonan Shukri Yahaya Puteri Balqis dan Nina Iskandar berjaya membuatkan penonton menunggu episod seterusnya.
Di sebalik kritikan netizen itu, A. Aida berkata, drama berkenaan adalah sebuah kisah benar yang diadaptasi daripada pengalaman rakan baiknya sendiri dan bukannya sebuah karya imaginasi.
"Jalan cerita drama ini seratus peratus kisah benar yang pernah terjadi kepada kawan saya. Setakat pukul, hentak kepala itu perkara biasa yang dilaluinya.
"Ada yang lebih teruk lagi perbuatan suaminya yang tak berguna tu. Tapi saya tak boleh nak masukkan dalam drama tersebut. Hakikat ia sebuah kehidupan wanita yang didera suami,” katanya kepada mStar Online.
Tambah A. Aida, atas dasar simpati dengan nasib temannya itu, dia terbuka hati menerbitkan kisah berkenaan untuk berkongsi rasa dengan penonton.
Ujarnya, kritikan netizen kononnya kejadian itu tidak wujud adalah salah sama sekali.
"Saya nak semua orang sedar lelaki seperti Airil yang dilakonkan Shukri Yahaya memang wujud. Dia boleh jadi sangat romantik dan secara tiba-tiba mengamuk teranjang isterinya hanya kerana cemburu buta," kata Aida.
Tambah Aida, untuk menerbitkan sebuah drama yang bagus perlu ada skrip dan jalan cerita yang dekat dengannya. Bukan sekadar rekaan semata-mata.
Selain Shukri Yahaya, drama itu turut dilakonkan Nina Iskandar yang memegang watak Fatihah.
Ia disiarkan di TV3 sejak 29 Mei lalu pada setiap hari Isnin hingga Khamis bermula pukul 10 malam.
Sumber : Mstar Online