Watson Nyambek Kembali Berlumba Julai Ini


KUCHING - Selepas 21 tahun bersara, bekas 'raja' pecut negara Watson Nyambek akan membuat penampilan pada Kejohanan Olahraga Masters Terbuka Malaysia (MIOMAC) 2017 yang berlangsung di Stadium Sarawak, Petra Jaya dari 22 hingga 23 Julai.

Watson yang popular dengan jolokan 'Flying Dayak' akan berentap dengan atlet dari Semenanjung Malaysia, Sabah, Sri Lanka, Thailand, Indonesia dan Singapura.

Memetik laporan Utusan Borneo, Setiausaha Persatuan Olahraga Master Negeri Sarawak (POMSAR), Ahmad Rosdzli Hashim berkata, seramai 899 dijangka menyertai kejohanan tersebut.

Beliau berkata, selaku tuan rumah, Sarawak akan membariskan 80 atlet lelaki dan 20 wanita.

"Ini merupakan kali pertama Sarawak menganjurkan Kejohanan Masters Terbukaini yang dijangka menarik penglibah jaguh olahraga seperti Watson yang melakar masa 10.30 saat dalam acara 100 meter selain atlet luar.

"Watson sudah berusia 41 tahun namun bersemangat untuk turun ke trek selepas kali terakhir beraksi 10 tahun lepas," katanya.

Selain Watson, atlet lain yang dijangka turut serta merangkumi bekas jaguh merejam lembing Nashatar Singh Sindhu, pelari jarak jauh M Ramakishnan dan bekas atlet melempar cakera Danapal Naidu.

Bekas atlet Sarawah Goh Fung Seng akan berentap dalam acara 100 dan 200 meter termasuk lompat jauh (65-70 tahun) manakala Watson dalam acara 100 meter dan 4x100 meter (40-45 tahun).

Lai Sze Kiuk akan bersaing dalam acara 100 meter dan lompat jauh.

Sumber : Sarawakiana