Yayasan Al Fasal Peruntuk RM700,000 Untuk Asnaf Di Bukit Gantang


BUKIT GANTANG - Yayasan Al-Fasal memperuntukkan wang zakat sebanyak RM700,000 untuk disumbangkan kepada golongan asnaf sepanjang Ramadan di kawasan Parlimen Bukit Gantang.

Pengerusinya Datuk Syed Abu Hussein Hafiz Syed Abdul Fasal berkata sumbangan itu diberikan kepada golongan fakir, orang kurang upaya (OKU) dan kanak-kanak bagi meringankan beban mereka untuk membuat persiapan menyambut Aidilfitri.

Setakat ini, yayasan itu sudah membelanjakan wang zakat sebanyak RM400,000 manakala RM300,000 lagi akan diberikan kepada 1,500 anak yatim.

"Yayasan memberikan sebanyak RM200 kepada setiap seorang kepada asnaf yang layak. Zakat disalurkan dengan bantuan Jalinan Rakyat yang mengenal pasti mereka yang layak," katanya.

Beliau ditemui pada majlis penyampaian Sumbangan Zakat Yayasan al-Fasal bagi Parlimen Bukit Gantang oleh Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir di sini, semalam.

Seramai 1,000 orang menerima zakat untuk Dewan Undangan (DUN) Trong pada majlis itu. - BERNAMA