TIDAK sahaja cantik, malah hatinya juga mudah tersentuh. Itulah Zara Zya, pelakon yang sedang meningkat naik namanya.
Berpeluang menyertai program amal anjuran Program Komuniti UiTM Holding di penempatan Anjung Singgah Kuala Lumpur baru-baru ini memberi satu kesedaran buat pelakon Zara Zya betapa perlunya dia mendekati golongan kurang bernasib baik.
Zara, 32, berkata, dia cukup tersentuh melihat situasi di mana ramai individu yang masih terabai dan memerlukan bantuan.
"Hal ini membuatkan hati saya terdetik, andainya saya dimurahkan rezeki dan berduit, saya berniat mahu perbanyakkan lagi penempatan seperti Anjung Singgah ini agar mereka yang tidak bernasib baik boleh merasai kehidupan yang sedikit sempurna dari sebelumnya, " kata Zara kepada mStar Online.
Anjung Singgah Merupakan sebuah pusat intervensi sosial bawah projek Yayasan Kebajikan Negara (YKN) Malaysia untuk membantu golongan gelandangan di Malaysia.
Di penempatan Anjung Singgah, mereka menyediakan kemudahan tempat tinggal sementara, makan minum dan sebagai pusat intervensi bagi mempersiap sediakan penghuninya menempuhi cabaran hidup agar tidak terpinggir daripada arus pembangunan negara.
Zara atau Zainurul Razia binti Mohd Zainuddin berkata, di kesempatan mendekati insan-insan yang kurang bernasib baik itu, dia dapat membantu membuat pemeriksaan kesihatan secara percuma untuk warga emas berkenaan.
Melihat kemesraan yang ditunjukkan, hatinya mudah tersentuh kerana merasakan insan-insan ini seharusnya diberi perhatian secara berterusan, bukan sahaja bermusim atau pada penganjuran program-program tertentu sahaja.
"Saya lihat ramai yang beratur untuk mendapatkan pemeriksaan kesihatan dan gunting rambut secara percuma.
"Jelas di sini mereka sebenarnya menunggu peluang sebegini kerana ada di antara mereka sebenarnya tidak mampu.
"Justeru, saya harap program seumpama ini dapat diteruskan sekerap mungkin tanpa menunggu hari-hari tertentu," katanya.
Sumber: mStar