KESERONOKAN beraya di Tanah Suci Makkah pada tahun lalu membuka hati Zizan Razak untuk merasai pengalaman serupa pada tahun ini terutamanya 10 malam terakhir Ramadan.
Zizan akan berangkat pada 14 Jun ini sehingga 2 Syawal selain menganggap ia tempat yang baik dan sempurna untuk bercuti.
"Semenjak pertama kali ke Makkah saya sudah tiada perasaan untuk ke tempat lain kerana di sanalah tempat paling baik untuk bercuti.
"Selain meningkatkan ketakwaan dan keimanan dalam setiap ibadat dilakukan saya juga sentiasa berasa amat tenang apabila berada di Mekah dan akan gunakan setiap peluang beribadah dengan sebaik-baiknya," kata Zizan kepada mStar Online.
Zizan ditemui pada majlis berbuka puasa dan sidang media program Syawal TV3 dan TV9 yang diadakan pada Rabu.
Pada hari raya nanti, TV3 dan TV9 bakal menyajikan pelbagai program menarik termasuk telefilem, seleksi filem tempatan dan antarabangsa, bual bicara, hiburan dan program majalah.
Dalam pada itu, Zizan berkata, dia lebih bersedia mengerjakan umrah kali ini termasuklah untuk mengenali diri sendiri sekali gus memperbaiki kelemahan yang ada.
"Selain sentiasa berasa tenang di Makkah, semua jemaah adalah setaraf sehingga kita tak kenal siapa kaya atau miskin.
"Ia tempat yang baik untuk bercuti dan sekiranya mampu… pergilah! Ia banyak mengajar kita mengenal diri sendiri, tak fikir benda lain selain amalan dan bagaimana hendak lalui padang Mahsyar (apabila meninggal dunia) nanti," katanya.
Dalam perkembangan lain, Zizan baharu sahaja selesai menjalani penggambaran drama Jula Juli Putus Cinta bersama Mira Filzah arahan Osman Ali.
Sumber : Mstar Online