10 Tahun Sulam Cinta, Hani Era FM Kini Sudah Bergelar Isteri


Tempoh 10 tahun berkenalan belum cukup buat penyampai radio Era FM, Hani Fadzil, 26, mengenali pasangannya, Wan Faiz Wan Nor, 30. Justeru, selamat bergelar isteri pada Jumaat lalu membuatkan Hani lega dan berharap dapat terus mengabdikan diri buat suami tercinta.

Bertempat di Bora Ombak, Marina Putrajaya, Hani atau nama sebenarnya Intan Farhani Mohd Fadzil sah bergelar isteri Wan Faiz bersaksikan 300 tetamu yang terdiri daripada ahli keluarga dan sahabat handai.

Hani dinikahkan sendiri bapanya, Mohd Fadzil Mohd Ali bersaksikan Imam dan Jurunikah Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin Putrajaya, Ustaz Hafizan Ibrahim.

Anggun dalam pakaian pengantin berona hijau pastel, Hani menerima mas kahwin RM300 manakala wang hantaran dirahsiakan. Pasangan ini juga sepakat berbalas tujuh dulang hantaran.

Berkongsi perasaannya, Hani yang mengelolakan segmen Johara 30 Era berkata, walaupun sudah lama berkawan masih banyak perkara yang perlu dia fahami mengenai suami.

“Alhamdulillah rasa lega apabila impian selama ini untuk disatukan terlaksana juga. Walaupun berkawan lama, ia belum cukup untuk kami saling mengenali kerana cinta kami tidak seperti pasangan lain.

“Ini kerana kami jarang bertemu kerana ibu bapa saya tegas orangnya. Jika pasangan lain boleh keluar selalu, kami hanya jumpa sekali seminggu,” katanya.

Walaupun berlainan karakter di mana Hani seorang yang banyak cakap manakala suami agak pendiam, itu bukan masalah besar bagi mereka, malah Hani sangat menghargai kesabaran Wan Faiz.

“Apa yang membuatkan saya tertarik pada suami ialah pada awal perkenalan dulu dia tidak tergesa-gesa mahu kami bercinta. Kami berkawan dulu sehingga berasa selesa baru beralih ke fasa lebih serius.

“Walaupun mengambil masa agak lama untuk berkahwin, ayah saya terasa seperti terlalu cepat. Mungkin kerana saya rapat dengan keluarga dan dia rasa berat untuk melepaskan saya,” katanya.

Pasangan ini turut mengadakan majlis resepsi di tempat sama sehari selepas majlis pernikahan.

Sementara itu,Wan Faiz berkata, dia pernah hampir berputus asa apabila sukar mengajak Hani keluar berdua.

“Keluarga Hani sangat tegas sehingga rasa susah hendak bertemu sehingga kami pernah curi-curi keluar. Namun, selepas saya berterus terang kepada keluarga Hani mengenai perasaan saya dan hubungan kami, Alhamdulillah mereka merestui dan menerima dengan hati terbuka,” katanya.

Tidak merancang soal anak, pasangan ini tidak kisah cepat atau lambat dan bersedia pada bila-bila masa.

Pasangan ini juga merancang berbulan madu ke United Kingdom (UK) pada Januari tahun depan berikutan Hani sibuk dan terikat dengan jadual kerjanya.

“Insya-Allah jika tiada aral kami akan berbulan madu ke UK awal tahun depan. Kami sibuk dengan karier masing-masing. Malah, dua hari selepas majlis resepsi, saya kembali ke konti radio seperti biasa,” katanya.

Sumber: MyMetro