GEORGE TOWN - Kerajaan Pulau Pinang dipersoal kerana terus membina rumah bernilai RM100,000 ke atas sedangkan jumlah rumah yang sudah siap dan tidak terjual sehingga tahun lalu menunjukkan 12,933 unit.
Ketua Biro Publisiti Gerakan Pulau Pinang, Ooi Zhi Yi berkata, data yang diambil itu adalah sahih kerana ia dirujuk daripada jawapan dan soalan bertulis yang dikeluarkan Exco Perumahan, Jagdeep Singh Deo di sidang Dun lalu.
Zhi Yi berkata, selain itu, pihaknya turut membandingkan jawapan itu dengan data yang diperolehi dari Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC).
“Dengan kedua-dua data tersebut, ia menimbulkan keraguan terhadap kecekapan dan kebolehan Kerajaan Pulau Pinang dalam membuat perancangan dan membina rumah mampu milik di negeri ini. Mengikut jawapan Exco Perumahan, perancangan untuk lima tahun, kerajaan negeri merancang membina rumah mampu milik A (RMM A) yang berharga bawah RM42,000 sebanyak 9,803 unit sedangkan jumlah pemohon dalam senarai menunggu bagi RMM A adalah 12,601.
“Ia jelas menunjukkan berlaku kekurangan sebanyak 2,798 unit rumah bagi kategori tersebut. Sementara itu, bagi RMM B (bawah RM72,500), kerajaan negeri membina 20,071 unit namun dalam senarai menunggu hanya ada 18,407 pemohon manakala bagi RMM C (bawah RM300,000) pula, sebanyak 34,115 unit dibina tetapi senarai pemohon hanya 9,342,” katanya kepada media semalam yang turut dihadiri Naib Ketua Pemuda Gerakan Pulau Pinang, H Puvaniten.
Sebelum ini, Zhi Yi dalam sidang medianya yang lalu turut mengkritik kerajaan negeri yang didakwa masih gagal menangani isu kritikal berhubung perumahan apabila terdapat jurang ketara antara jumlah rumah yang dirancang untuk dibina dan jumlah pemohon.
Walaubagaimanapun isu itu tidak diperjelaskan oleh kerajaan negeri membuatkan beliau mencari data sahih dari NAPIC bagi mengukuhkan dakwaannya itu.
“Data ini paling terkini iaitu bagi suku ke empat bagi tahuj 2016. Mengikut data itu, 12,933 unit yang tidak terjual iaitu 1,896 unit yang sudah siap, 8,119 unit yang sedang dalam pembinaan dan 2,918 unit yang belum dibina. Dari jumlah itu, pecahan mengikut harga yang tidak terjual adalah 284 unit (bawah RM50,000); 378 unit (bawah RM100,000), 1,918 unit (lebih RM100,000) dan 10,353 unit (lebih RM300,00).
“Persoalannya, mengapa kerajaan negeri masih meluluskan dan membina kategori rumah yang tidak terjual itu? Pecahan bagi kategori bawah RM100,000 adalah sikit dan ia menunjukkan bahawa permintaan bagi kategori itu tinggi. Mengapa mereka tidak bina lebih banyak rumah bagi kategori itu?” katanya.
Beliau turut mempersoalkan motif kerajaan negeri dalam membuat perancangan pembinaan rumah kerana ia dilihat seolah-olah untuk menguntungkan ahli korporat.
Sumber: Sinar Harian