13 Geng Kongsi Gelap Direman


JOHOR BAHRU - Seramai 13 individu yang disyaki terbabit dalam kumpulan kongsi gelap direman 21 hari oleh Mahkamah Majistret Johor Bahru, hari ini.

Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Majistret Noor Aisyah Ahmad terhadap semua suspek lelaki yang berusia 25 hingga 32 tahun selepas membenarkan permohonan pihak Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor.

Tempoh tahanan reman sehingga 12 Ogos itu dibenarkan bagi membolehkan siasatan lanjut terhadap semua suspek dibuat mengikut Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA).

Terdahulu, semua suspek berpakaian lokap berwarna jingga dan ungu itu dibawa ke mahkamah kira-kira 10 pagi diiringi anggota polis berpakaian 'Man In Black'.

Dalam satu kenyataan media, Ketua Polis Johor, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd, berkata semua suspek itu ditahan susulan dua insiden pergaduhan di kawasan Mount Austin dan Taman Daya, Johor Bahru, pada jam 10.15 malam, 8 Julai lalu.

Beliau berkata, suspek terdiri daripada lima ahli kumpulan geng 36; geng 24 (4); geng 18 (2) dan masing-masing seorang ahli geng 21 dan 04.

Sumber: BH Online