1.5 Juta Warga Bangladesh Berdaftar Untuk Bekerja Di Luar Negara


KUALA LUMPUR - Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi hari ini menjelaskan 1.5 juta pekerja warga Bangladesh sebenarnya berdaftar dengan kerajaan mereka untuk bekerja di luar negara dan bukannya ke Malaysia semata-mata.

Timbalan Perdana Menteri berkata, jumlah sebenar kemasukan warga Bangladesh ke Malaysia bergantung kepada keperluan syarikat-syarikat tempatan.

"Tidak ada satu-satu syarikat yang dilantik untuk membawa mana-mana mereka masuk. Melalui sistem atas talian, majikan memohon untuk mendapatkan pekerja berkenaan secara terus tanpa melalui ejen atau mana-mana syarikat," katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail (PKR-Permatang Pauh) yang ingin tahu maklumat terperinci syarikat manakah yang membawa masuk 1.5 juta pekerja Bangladesh ke dalam negara, pada persidangan Dewan Rakyat hari ini. - Bernama