16 Gelandangan, Kutu Rayau Diselamatkan JKM P.Pinang


ENAM belas lelaki dan wanita disyaki gelandangan dan kutu rayau diselamatkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pulau Pinang dalam operasi sekitar Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar).

Operasi yang bermula dari 11.15 malam tadi hingga 1 pagi itu tertumpu di dua lokasi iaitu di Flat Jalan Kedah dan sekitar kawasan Komtar membabitkan 35 pegawai penguat kuasa JKM Daerah Timur Laut, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).

Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Perudangan dan Penguatkuasaan JKM negeri, Haslinda Abdul Hamid berkata, dalam operasi itu mereka yang ditahan itu berusia 25 hingga 70-an dan termasuk beberapa individu pernah ditahan beberapa kali.

Beliau berkata, antara sebab menjadi gelandangan adalah bekerja tetapi tiada rumah, berpenyakit dan dibuang keluarga.

Semua yang ditahan itu adalah rakyat tempatan, katanya.

Menurutnya, mereka kemudian dibawa ke Pejabat JKM Daerah Timur Laut untuk tujuan dokumentasi sebelum tindakan lanjut dilakukan.

"Kita akan melakukan siasatan rapi bagi mengenal pasti sama ada mereka benar-benar gelandangan selain menyiasat sama ada memiliki penyakit berjangkit manakala yang mempunyai keluarga akan diserah kembali," katanya ketika ditemui selepas operasi.

Sumber: MyMetro