42 GRO Warga Asing Dicekup Dalam Dua Serbuan


JOHOR BAHRU - Keseronokan gadis pelayan pelanggan (GRO) warga asing bekerja di negara ini berakhir dengan tangisan apabila dicekup Jabatan Imigresen Negeri Johor dalam dua serbuan pusat urut di Sungai Rengit, Pengerang, kelmarin.

Ketua Bahagian Penguatkuasaan Imigresen Johor, Masri Adul berkata, operasi bermula jam 7.30 malam itu membawa kepada penahanan 42 GRO terdiri daripada warganegara Vietnam, Indonesia dan Thailand berusia 21 hingga 37 tahun.

Menurutnya, seramai 52 individu termasuk mereka yang ditahan diperiksa dalam operasi tersebut dengan majoriti GRO ditahan adalah warga Indonesia iaitu seramai 26 orang selain 15 warga Vietnam dan seorang warga Thailand.

“Daripada jumlah itu, 27 daripada mereka ditahan bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 atas kesalahan tiada dokumen perjalanan yang sah ke negara ini selain tiga ditahan bawah Peraturan 17(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

“Manakala, 12 lagi GRO ditahan atas kesalahan Seksyen 56(1)(i) Akta Imigresen 1959/63 iaitu mempunyai dalam pemilikan apa-apa permit masuk, pas, dokumen atau perakuan yang palsu atau dipinda,” katanya.

Masri berkata, dalam serbuan tersebut turut ditahan mengikut Seksyen 55E Akta Imigresen 1959/63 adalah seorang lelaki tempatan dan empat warganegara Nepal dipercayai penjaga premis kerana membenarkan imigran haram untuk masuk atau tinggal di dalam premis.

Sumber: Sinar Harian