48 Ekor Anjing Di Perak Dilupus


TANJUNG MALIM – Jabatan Perkhidmatan Veterinar Perak telah melupuskan sebanyak 48 ekor anjing serta menyuntik vaksin ke atas 132 ekor anjing dan kucing sebagai langkah mengekang penularan wabak rabies atau penyakit anjing gila di negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam, Integrasi Nasional dan Kampung Baharu negeri, Datuk Dr. Mah Hang Soon berkata, lapan sampel daripada 48 ekor anjing yang dihapuskan di Kuala Sepetang itu telah dihantar ke makmal Institut Penyelidikan Veterinar di Ipoh untuk dianalisis.

“Hasil daripada ujian yang diperoleh hari ini (semalam), lima sampel anjing didapati negatif dan bebas daripada sebarang risiko penyakit rabies.

“Tiga lagi keputusan sampel anjing yang dihantar malam tadi (kelmarin) akan diketahui pada hari Jumaat ini,” kata beliau pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Bertindak menangani wabak rabies Perak di Majlis Daerah Tanjung Malim di sini semalam.

Sumber: Kosmo