GEORGETOWN - Orang ramai teruja menyaksikan deretan 49 kereta Ferrari daripada pelbagai model di Padang Kota Lama di sini, semalam, perhimpunan bagi meraikan ulang tahun ke-70 Ferrari di Malaysia.
Pemandu kereta mewah terbabit berkonvoi dari Kuala Lumpur dan tiba di Padang Kota di sini, kira-kira jam 1 petang semalam.
Pengerusi Eksekutif Kumpulan NAZA World, Datuk Wira SM Faisal SM Nasimuddin, berkata pihaknya memilih Pulau Pinang sebagai lokasi untuk menyambut ulang tahun ke-70 Ferrari kerana negeri itu mempunyai nilai warisan dunia.
"Setiap 10 tahun, kita akan mengadakan sambutan ulang tahun Ferrari yang akan dilakukan di negara terpilih. Sebelum ini, sambutan ulang tahun Ferrari diadakan di Indonesia, Thailand dan tahun ini di Pulau Pinang.
"Bagi meraikan sambutan ulang tahun ini, kita akan memilih tempat yang disenaraikan oleh UNESCO, dan Pulau Pinang dipilih sebagai lokasi untuk berkumpul," katanya pada media, di sini, semalam.
Naza Italia turut menganjurkan Majlis Makan Malam Gala di Fort Cornwallis malam semalam, sempena sambutan ulang tahun global Ferrari.
Sumber: BH Online