5 Termasuk 2 Wanita Ditahan Dalam Ops Cegah AADK Perlis

 aadk perlis

KANGAR - Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) negeri menahan lima orang termasuk dua wanita dalam Ops Cegah di sini, Arau dan Kuala Perlis, kelmarin.

Hasil pemeriksaan air kencing mendapati kesemua yang ditahan berusia antara 21 dan 30 tahun tersebut, positif dadah jenis syabu.

Pengarah AADK negeri, Azizah Ahmad berkata, berdasarkan operasi dijalankan mendapati golongan penagih dadah kini semakin agresif.

Katanya, dalam kejadian di sebuah rumah di Alor Redis, sebuah kenderaan dinaiki anggotanya rosak akibat dilanggar kereta yang disyaki dipandu oleh penagih dadah.

“Suspek kemudian melarikan diri dengan kereta Proton Wira dan mujurlah anggota kita tidak cedera,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Kata beliau, pihaknya akan terus menjalankan Ops Cegah bagi mengesan penagih dadah bagi menjalani perintah pemulihan.

Tambahnya, pihaknya juga meminta kerjasama orang ramai membantu menyalurkan maklumat berkaitan penagihan dadah di kawasan mereka.

Sumber: Utusan