Abam Mahu Ibu Bahagia


Memiliki kerjaya stabil dan diminati ramai membuatkan Abam daripada kumpulan Bocey boleh saja memikirkan soal suri hidup.

Tambahan pula usianya kini mencecah 28 dan dua lagi rakan gandingannya, Fad dan Achey sudah lama mendirikan rumah tangga.

Bagaimanapun ditemui baru-baru ini, Abam atau Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Redzuan akui soal jodoh dan kahwin belum lagi ada dalam kamus hidupnya.

Jejaka kelahiran Gombak, Selangor ini berkata, walaupun ada pandangan diberikan ia bukan satu masalah buat dirinya.

Dia juga akui bukan tidak ada yang meminatinya malah ada peminat wanita yang menggilainya sehingga meletakkan dirinya sebagai pelawak nombor satu dalam hati.

“Bukan tidak ada wanita yang mahukan saya malah dari sudut kewangan hasil pendapatan sebagai anak seni ketika ini lebih daripada cukup.

“Cuma dalam situasi sekarang dan wang hasil titik peluh yang saya peroleh ini biarlah saya gunakan untuk membahagiakan ibu saya dulu.

“Saya mahu membahagiakan keluarga saya. Sekiranya segalanya sudah sempurna, barulah saya mahu fikirkan soal berumah tangga,” katanya.

Dia percaya ada sebab Allah kurniakan dia rezeki lebih. Pastinya ia harus dikongsikan bersama ahli keluarganya terlebih dulu.

“Rezeki yang saya ada ini sebenarnya juga rezeki ibu dan adik-beradik yang lain. Allah memberikan kelebihan ini untuk saya kongsikan kepada mereka. Saya salah sekiranya mementingkan diri sendiri dengan rezeki dikurniakan,” katanya.

Mengenai sambutan Aidilfitri tahun ini, kata Abam, rutin menyambut hari raya tidak banyak berubah. Apa yang paling ditunggu-tunggu ialah berkumpul satu keluarga dan bercuti bersama.

“Tahun ini kami memilih untuk bercuti di Pulau Perhentian, Terengganu pada hari raya ketiga. Saya sendiri tidak dapat bercuti lama, jadi disebabkan itu pada hari raya ketiga kami mahu pergi bercuti.

“Pada 9 Syawal, saya sudah kembali bekerja,” katanya.

Mengenai kumpulan Bocey yang muncul juara Maharaja Lawak Mega (MLM) 2017 baru-baru ini Abam akui sudah lama tidak bertemu dengan Fad atau Achey.

Katanya, buat masa terdekat ini mereka belum lagi ada projek bertiga dan buat sementara ini mereka bergerak sendiri.

“Perkara itu tidak pernah menjadi masalah kerana ia sudah dipersetujui lebih awal. Apa pun, saya mengalu-alukan sebarang projek yang mahu menemukan kami bertiga tetapi saya faham ada antara produksi yang mahu khidmat anggota Bocey secara solo mengikut kesesuaian persembahan atau karakter.

“Tambah pula ada antara kami yang sibuk dengan aktiviti seni dan kerjaya masing-masing. Contohnya Fad yang harus berada di konti Era setiap petang mengendalikan program petang bersama Dina,” katanya.

Untuk Aidilfitri ini, Abam juga terbabit dalam program khas Serupa Tapi Tak Sama. Dalam program ini, Abam berlakon menjadi orang lain dan melihat orang keliling kenal dirinya atau pun tidak.

“Saya menyamar menjadi pembersih pejabat. Tapi itulah sepanjang saya berlakon menjadi orang lain, boleh dikatakan sebahagian besar mereka mengenali saya.

“Maklumlah tubuh saya sudah menjadi ‘treadmark’. Ubahlah macam mana pun orang pasti kenal juga,” katanya.

Sumber : MyMetro