IPOH - “Allah pinjamkan saya dan isteri nikmat mempunyai anak dan menjaganya empat bulan sebelum diambil balik.
“Saya sangat bersyukur dapat menikmati segala nikmat Allah berikan kepada kami dan reda dengan pemergian Aira Amira,” kata Nurul Riduan Nor Ashaha.
Nurul Riduan, 32, dan isterinya, Norhafiza Che Abdullah, 27, yang lebih lima tahun berkhidmat dengan Sinar Harian kehilangan anak perempuannya, Aira Amira, empat bulan selepas tidak sedarkan diri ketika berada di rumah pengasuh di Seksyen 19, Shah Alam, petang Isnin.
Aira Amira dibawa ke klinik kesihatan dan kemudiannya dibawa ke Hospital Shah Alam sebelum disahkan meninggal pada jam 3.05 petang.
Jenazah Aira Amira dibawa pulang ke kampung halaman Nurul Riduan di Felda Besout 1 jam 12.30 tengah malam Selasa untuk urusan pengebumian di Tanah Perkuburan Islam Felda Besout selepas selesai bedah siasat di Hospital Shah Alam.
Nurul Riduan berkata, arwah anaknya bakal menginjak usia empat bulan menjelang Jumaat ini, namun kini sudah menjadi kenangan buat dirinya dan isteri.
Katanya, dia dan isteri merancang adakan akikah untuk arwah anaknya bersama kenduri arwah ibunya pada September akan datang dan persiapan hampir siap.
“Insya-Allah, saya akan teruskan rancangan tersebut,” katanya.
Sumber : Mstar Online