AKU 8055 Jadi Rebutan VIP

  Image result for NO PLAT AKU BOSS

IPOH – Nombor pendaftaran kenderaan AKU 8055 dijangka mendapat permintaan paling tinggi di negeri ini apabila bidaan nombor plat tersebut dibuka oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perak sejak 8 pagi semalam.

Pengarah JPJ Perak, Mohd. Zawawi Zakaria berkata, antara individu yang berminat untuk mendapatkan nombor pendaftaran yang mempunyai sebutan AKU BOSS itu termasuk orang kenamaan (VIP), selebriti, bintang sukan dan jutawan kosmetik.

“JPJ menerima pertanyaan daripada banyak pihak mengenai nombor plat AKU 8055 sejak tahun lepas lagi kerana ia mempunyai sebutan seakan-akan AKU BOSS.

“Pemilik rasmi AKU 8055 akan diketahui selepas tarikh tutup bidaan pada pukul 12 tengah hari 18 Julai depan,” katanya pada sidang akhbar di ibu pejabat JPJ Perak sini semalam.

Katanya, selain AKU 8055, turut mendapat perhatian ramai pihak ialah nombor pendaftaran AKU 805, AKU 1305 dan AKU 8005.

“Nombor pendaftaran siri AKU 1 hingga 9999 mula dibuka kepada orang ramai secara rasmi pada pukul 8 pagi hari ini (semalam) sehingga 12 tengah hari 18 Julai.

“Ia terbahagi kepada tiga ka­tegori iaitu Nombor Bernilai Utama iaitu 1 hingga 10 yang boleh dibida dengan harga minimum RM10,000, Nombor Menarik seperti 2222 dan 4444 (RM2,000) serta Nombor Popular termasuk 9090, 7070 dan 4400 (RM300),” katanya.

Sumber: Kosmo