KUALA BESUT - Lambakan bahan terbuang terdampar di sepanjang pantai Kuala Besut memberi inspirasi kepada seorang tukang kasut di Kampung Kayu Kelat untuk menghasilkan kraf tangan.
Derus Ghani, 53, atau lebih dikenali sebagai Pak Yuh berkata, bukan sekadar hobi, sebaliknya ia mampu menjana pendapatan sampingan sejak tiga bulan lalu.
Menurutnya, dia mendapat idea untuk menghasilkan bot nelayan dan rumah tradisional daripada upih pinang serta kayu-kayuan selepas sihat daripada penyakit lemah jantung .
“Dulu saya baiki kasut di Padang Tembak, Kelantan. Tapi lepas ada masalah kesihatan, saya balik kampung isteri di sini (Kayu Kelat).
“Masa di Padang Tembak dulu, saya buat replika kapal terbang. Sesuai dengan tempat itu yang dekat dengan lapangan terbang,” katanya yang membaiki kasut lebih 20 tahun.
Menurut Derus, idea untuk membuat bot pula sesuai dengan kehidupan masyarakat di sini yang terdiri daripada nelayan.
Katanya, bahan diperlukan terdiri daripada upih pinang, serpihan kayu, tali benang dan cat, manakala selebihnya pula adalah kreativiti.
"Replika sampan dan rumah tradisional dijual serendah RM20 sehingga RM150 seunit, bergantung pada saiz dan kreativiti. Saya buat kalau ada masa terluang lepas baiki kasut pelanggan dan mampu siapkan lebih tiga bot sehari.
“Alhamdulillah, kita dapat sambutan daripada pengunjung untuk dijadikan sebagai cenderahati. Saya berniaga setiap hari kecuali Jumaat. Hari cuti saya akan pergi ronda pantai untuk cari bahan terbuang macam botol dan kayu yang ada nilai seni,” katanya yang berniaga dengan menumpang atas wakaf depan surau Kayu Kelat.
Replika punya kisah tersendiri
Derus berkata, kedatangan seorang kenamaan membeli empat replika bot untuk dihadiahkan kepada pemimpin negara turut menyuntik semangatnya bagi meneruskan usaha itu.
Dia juga terharu apabila pengerusi JKKK turut memberi semangat, walaupun dia tinggal di kampung lain dan berasal dari Kelantan.
“Dia tak pernah halau, malah bantu saya promosi hasil kraf tangan melalui Facebook. Mulanya saya tak kenal dia, tapi bila saya tanya penduduk kampung berhampiran, baru tahu lelaki muda itu ialah pengerusi JKKK,” katanya.
Tambah Derus, dia turut tersentuh dengan keprihatinan masyarakat sekitar yang tidak lokek menghulurkan sumbangan.
“Di sini ramai pengguna jalan raya berhenti semata-mata nak beri sumbangan terutama masa nak raya baru-baru ini. Mungkin mereka tengok saya pakai baju buruk, tapi tu baju masa saya buat kerja.
“Orang di sini juga tak berkira dengan bayaran. Kalau upah baiki kasut RM3, mereka beri RM5 sebab puas hati dengan hasil kerja saya. Mungkin juga simpati,” katanya.
Sumber: Sinar Harian