PELAKON Amar Baharin, 32, berhajat membuka akaun media sosial untuk cahaya mata sulungnya yang dijangka lahir pada penghujung Oktober nanti.
Suami kepada pelakon Amyra Rosli itu berkata, dia tiada masalah dengan hal itu memandangkan ramai selebriti berbuat demikian malah penting baginya untuk berkongsi dengan peminat.
"Saya dan isteri sepakat untuk buka akaun media sosial untuk anak kami nanti. Terpulanglah orang suka atau tidak tetapi bagi kami ia penting kerana boleh dijadikan kenangan.
"Lagipun ini trend sekarang, jadi kenapa saya tak boleh buat? Rata-rata semua orang ada akaun media sosial dan koleksi gambar mahupun video yang dikongsi itu boleh jadi kenangan 20 tahun akan datang.
"Tak salah kan?" katanya kepada Harian Metro.
Bercerita lanjut mengenai bayi yang bakal lahir itu, Amar berkata doktor belum dapat mengesahkan jantina meskipun sudah beberapa kali melakukan imbasan.
"Sehingga kini kami belum tahu jantina bayi kerana asyik terlindung apabila melakukan imbasan. Doktor ada juga melakukan beberapa perkara untuk mengenal pasti jantina bayi namun tidak berhasil.
"Tak kisahlah lelaki atau perempuan, kami terima dengan hati terbuka. Apa yang penting, bayi sihat. " katanya.
Sumber: Metro