Amaran Angin Kencang, Laut Bergelora


KUALA LUMPUR - Angin kencang dari arah Barat dan laut bergelora dijangka berlaku di kawasan perairan Phuket, Samui, Condore, Reef North, Layang-Layang dan Palawan sehingga Isnin ini. 

Jabatan Meteorologi Malaysia dalam satu kenyataan hari ini, berkata angin kencang dengan kelajuan 40 hingga 50 kilometer sejam (kmsj) dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter adalah berbahaya kepada bot-bot kecil, rekreasi laut dan sukan laut. 

Jabatan itu juga menyatakan bahawa ribut petir di perairan Condore, Reef South, Reef North, Labuan, Palawan dan Sulu dijangka berterusan sehingga malam ini. 

"Keadaan itu boleh menyebabkan angin kencang sehingga 50 kmsj dan laut bergelora dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter dan berbahaya kepada bot-bot kecil," kata jabatan itu. 

Keadaan sama juga dijangka berterusan di perairan Sarawak (Mukah, Bintulu dan Miri), Sabah (Pantai Barat, Kudat dan Sandakan) dan WP Labuan sehingga malam ini. - BERNAMA