Anak Ghaib Dari Bumbung Perahu, Dikhuatiri Lemas


SRI AMAN - “Saya terkejut mendapati anak tiada dalam perahu setibanya saya di jeti selepas memukat ikan,” kata Roslan Zainal, 50, bapa kepada Mohd Harfa Mahdihi, 25, yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh daripada perahu dinaiki di Sungai Batang Lupar di sini, petang kelmarin.

Roslan hanya menyedari kehilangan Mohd Harfa Mahdihi pada jam 2.30 petang apabila mangsa tidak turun dari perahu setibanya di Jeti Lingga, 45 minit dari lokasi memukat.

Menurut Roslan, Mohd Harfa Mahdihi berada di bumbung perahu sementara dia mengemudi perahu ke jeti untuk pulang ke rumah.

“Mohd Harfa Mahdihi memang duduk di atas bumbung perahu setiap kali kami ke sungai untuk memukat.

“Saya sangka dia masih ada di bumbung ketika tiba di jeti namun saya terkejut apabila mendapati dia tiada,” katanya.

Katanya, dia dan Mohd Harfa Mahdihi keluar dari rumah mereka di Ulu Lingga, jam 6 pagi untuk memukat ikan di sungai itu.

“Sudah tiga tahun Mohd Harfa Mahdihi membantu saya memukat ikan. Dia memang suka duduk di bumbung perahu sambil mendengar lagu menerusi telefon bimbitnya,” katanya.

Menurut Roslan, ada kemungkinan Mohd Harfa Mahdihi terjatuh ketika mereka mengharung gelombang yang melanda.

“Saya harap Mohd Harfa Mahdihi ditemui dalam keadaan selamat,” katanya.

Sementara itu, Komander Operasi Kanan Balai Bomba dan Penyelamat Sri Aman Vincent Baling Yabi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 5 petang daripada polis berkaitan kejadian terbabit.

“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) membabitkan kami, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan penduduk kampung.

“Setakat jam 1.30 tengah hari ini (semalam), mangsa belum ditemui,” katanya.

Sumber: MyMetro