Angkasawan Negara ‘Tayang’ Bayi Kembar


PETALING JAYA - Angkasawan Negara Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor (gambar) berkongsi dengan peminat gambar terbaru beliau memangku anak kembarnya yang dilahirkan pada Khamis.

Menurut posting yang dimuat naik pada pagi Jumaat di laman Instagram itu,  bapa kepada empat orang cahaya mata tersebut melahirkan rasa teruja kerana anak yang dilahirkan merupakan kembar seiras.

"Cuba untuk menjalinkan ikatan dengan si kembar. Ia sungguh mempesonakan saya melihat bagaimana wajah mereka sangat seiras.

"Saya benar-benar menikmati setiap saat bergelar ibu bapa," tulisnya.

Setakat ini, gambar tersebut sudah menerima 10,137 tanda suka dan 342 komen.

Pada Khamis, mStar melaporkan Dr Sheikh Muszaphar bukan sahaja menyambut berita gembira dengan kehadiran cahaya mata kembar, malah turut berkongsi tarikh lahir yang sama dengan kedua-dua bayinya itu.

Doktor yang berusia 45 tahun itu dan isterinya Dr Halina Mohd Yunos menyambut kelahiran bayi mereka dengan kegembiraan berganda dan mengumumkan mengenai perkara itu di laman Facebook.

"Terima kasih kepada semua yang mengucapkan ucapan hari jadi. Alhamdulillah...si kembar juga mahu keluar hari ini. Kami dirahmati dengan dua bayi lelaki yang lahir hari ini (Khamis) pada pukul 10.05 pagi yang berbeza beberapa minit sahaja," tulisnya pada posting itu.

Tambah beliau, anak perempuannya Sophea Isabella dan Sophea Natasha juga teruja dengan berita tersebut.

Sumber: Mstar Online