AMERIKA Syarikat (AS) menjadi negara pertama menyahut keputusan Parlimen Israel yang meluluskan rang undang-undang menjadikan Baitul Maqdis milik penuh negara Yahudi itu.
Rang Undang-undang itu diluluskan Isnin lalu, sekali gus memadamkan kunci utama pelan damai Israel-Palestin. Kem perunding Palestin mahukan Baitul Maqdis Timur sebagai ibu negara Palestin Merdeka.
Di Baitul Maqdis Timur terletak Masjidil Aqsa, kawasan ketiga paling suci umat Islam. Israel pula mengisytiharkan kawasan sama sebagai tapak kuil Sulaiman, sejarah suci ajaran Yahudi.
Naib Presiden AS, Mike Pence mengulangi pendirian Presiden Donald Trump untuk serius memindahkan kedutaan AS ke Baitulmaqdis ketika berucap di Sidang Kristian Israel di Washington.
Menurut Pence, dalam itu Baitul Maqdis, AS akan berdiri di belakang Israel, kini dan selama-lamanya. Justeru, tidak timbul isu samada kedutaan itu akan dipindahkan atau tidak.
Ucapan Pence melengkap skenario tragis terhadap nasib Baitul Maqdis. Khamis lalu, Israel menutup laluan masuk ke Masjidil Aqsa. Pada Isnin, Parlimen Israel meluluskan rang undang-undang menguasai Baitul Maqdis. Semalam, AS menyokong usul itu dengan sentimen memindahkan kedutaan.
Semua perkembangan serius ini serentak pula dengan laporan portal berita Elaph mengenai trending #Raja_Salman_Buka_Pintu_AlAqsa di Twitter.
Elaph melaporkan, pemimpin Arab Saudi, Raja Salman turut campur tangan dalam isu penutupan pintu masuk ke Masjidil Aqsa.
Raja Salman secara peribadi menghubungi Rumah Putih untuk mengarahkan Israel membuka kembali pintu Masjid Al-Aqsa yang ditutup. Raja Salman juga dikatakan menghubungi Tel Aviv.
Malah, lebih sensasi, konon Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berjanji pada Raja Arab Saudi, kejadian penutupan pintu Masjidil Aqsa tidak akan berulang lagi.
Laporan Elaph itu serta realiti tindakan AS dan Israel dalam isu Masjidil Aqsa terlihat sangat sarkastik. Ia menimbulkan jenaka luar biasa. Ketika Yahudi hampir memusnahkan status Baitul Maqdis sebagai kota suci umat Islam, Arab Saudi dikatakan memberi kata dua pada AS dan Israel.
Malah, jenaka murahnya pula, Israel dalam laporan Elaph terlihat seperti sangat akur dan akan patuh pada arahan Arab Saudi.
Trending Elaph juga menyebut, Netanyahu turut menjemput Raja Salman melawat tapak pintu masuk ke kiblat pertama umat Islam itu.
Pence barangkali belum menerima panggilan Presiden Donald Trump yang baru diberi amaran oleh Arab Saudi. Atau, parlimen Israel belum mendapat nasihat Netanyahu, bahawa Tel Aviv sudah berjanji akan mematuhi segala kehendak Arab Saudi.
Realitinya, Pence sebaliknya tegas menyuarakan hasrat AS untuk terus membantu Israel menguasai sepenuhnya Baitul Maqdis.
Terdahulu, Netanyahu dengan nada riak pula, mendesak dunia mengiystiharkan Baitulmaqdis sebagai ibu kota Israel.
“Ibu negara Israel ialah Baitulmaqdis. Semua kedutaan perlu berada di Baitulmaqdis.”
Di Jordan, The Waqf yang bertanggungjawab menjaga urusan agama di Masjid Al-Aqsa, berang dengan tindakan rejim Zionis yang memasang pengesan logam di kawasan tersebut.
“Sekiranya pengesan logam terus dipasang, kami menyeru orang ramai untuk mengerjakan solat di hadapan pintu pagar masjid dan jalanan,” kata kenyataan The Waqf. – Kedahnews.com