Arah Mesyuarat Semula CEC, Kit Siang Takut Bayangnya Sendiri?


ALOR SETAR - Apabila UMNO diharamkan selepas krisis pemilihan 1987, ahli dan pemimpin UMNO patuh dengan keputusan mahkamah.

UMNO baharu pun didaftarkan semula dan semua ahlinya di setiap cawangan seluruh negara dikemaskini.

Namun agak pelik bagi DAP pimpinan Lim Kit Siang dan anaknya, Lim Guan Eng.  Parti itu belum lagi diharamkan oleh mahkamah dan hanya diminta oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS) supaya  mengadakan semua mesyuarat pemilihan jawatanjuasanya.

Walaupun diarahkan ROS agar pemilihan Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP diadakan semula,  Kit Siang menuduh  perintah itu dibuat atas konspirasi Barisan Nasional untuk mensabotaj persiapan partinya menghadapi PRU14.

Sebelum ini, Kit Siang bimbang kerajaan akan mengharamkan parti itu menjelang PRU14 setelah CEC yang lepas diputuskan sebagai tidak sah.

Apakah Kit Siang sebenarnya takutkan bayang-bayangnya sendiri? 

Bekas Naib Pengerusi DAP Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim mendakwa, Penasihat DAP itu sebenarnya tidak berhasrat untuk mengadakan pemilihan semula CEC parti itu bagi memastikan Dinasti Lim terus berkuasa.

Tunku Abdul Aziz berkata,  Kit Siang tahu jika pemilihan CEC DAP dibuat semula, Ahli Parlimen Gelang Patang dan Guan Eng yang kini Setiausaha Agung DAP dan Ketua Menteri Pulau Pinang akan disingkirkan oleh para perwakilan.

“Kit Siang tahu tempatnya akan digantikan oleh Naib Pengerusi DAP, Dr. Tan Seng Giaw yang merupakan seorang pemimpin yang dihormati di dalam serta di luar parti.

“Kit Siang akan menggunakan pelbagai cara untuk tidak mengadakan pemilihan semula CEC DAP kerana mahu Dinasti Lim kekal berkuasa,” katanya ketika sidang akhbar di Kuala Lumpur semalam.
Sementara parti Gerakan pula beranggapan dakwaan DAP bahawa BN cuba mensabotaj parti itu adalah tidak berasas sama sekali.

Setiausaha Agung Gerakan, Datuk Liang Teck Meng berkata, DAP masih mempunyai masa yang panjang untuk mengadakan pemilihan semula sebelum tempoh matang PRU14.

"Saya tak faham apa yang dimaksudkan kerana mereka kata ini sabotaj daripada BN. Jika diimbas kembali, CEC DAP adalah pada Disember 2012 dan PRU13 diadakan pada Mei 2013.

"Ketika itu mereka ada tempoh lima ke enam bulan sebelum PRU13. Tempoh matang PRU14 pula adalah pada Ogos 2018, jadi DAP mempunyai  masa yang lebih panjang daripada sebelum ini.
Saya tak nampak ada unsur sabotaj untuk menghalang mereka mengambil bahagian dalam PRU14," katanya dalam sidang media,semalam.

Menurut Teck Meng, isu yang berlaku dilihat hanyalah sekadar masalah dalaman DAP.

"DAP dikatakan akan ambil tindakan terhadap ROS. Jadi, ROS perlu mempertahankan ketelusan dalam isu ini dan saya ingin tegaskan isu sabotaj tak wujud sama sekali.

"Kita ada perlembagaan dan akta, kena ikutlah. Kedua-dua pihak juga boleh mengemukakan segala dokumen dan bukti untuk menunjukkan siapa yang berbohong," katanya.

Kelmarin Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, mengikut Akta Pertubuhan 1966, watikah calon yang akan bertanding mewakili DAP tidak dapat dikeluarkan dan disahkan memandangkan CEC tidak diiktiraf oleh ROS.

Pengingkaran kepada arahan ROS ini menyebabkan calon daripada DAP tidak dapat bertanding  kerana watikah calon sesebuah parti mesti ditandatangani oleh pegawai atau pemegang jawatan yang diberikan mandat oleh partinya untuk menandatangani watikah berkenaan.

Jika barisan kepemimpinan tidak diiktiraf oleh ROS ertinya watikah tidak dapat dikeluarkan dan tidak boleh disahkan maka akibatnya calon DAP tidak boleh bertanding,” kata Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri.

DAP kini sedang menuding jari kepada pihak lain walaupun kesilapan itu berlaku angkara diri sendiri. - Kedahnews.com