Arifuddin Akhirnya Bertemu Hafiz Kamal


IMPIAN seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun yang menderita kanser tisu tahap empat untuk bertemu idolanya, pemain bola sepak Perak, Hafiz Kamal akhirnya menjadi kenyataan, hari ini.

Muhammad Arifuddin Mohd Nor Hafis yang bakal buta dalam masa terdekat bertemu Hafiz Kamal di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, jam 12 tengah hari tadi.

Bapanya, Mohd Nor Hafis Abd Aziz, 33, berkata Hafiz meluangkan masa hampir sejam dengan Muhammad Arifuddin.

"Walaupun dalam keadaan lemah kerana menjalani rawatan radioterapi semalam, namun Muhammad Arifuddin kelihatan bersemangat sebaik bersalaman dengan Hafiz.

"Sebelum ini anak sering menyebut nama Hafiz setiap kali menahan kesakitan semasa menjalani radioterapi dan akhirnya impian bertemu idolanya menjadi kenyataan," katanya.

Sementara itu, Hafiz meluahkan rasa terharunya apabila ada peminat yang ingin berjumpanya biarpun dalam keadaan sakit.

"Semangat saya semakin berkobar-kobar untuk lakukan yang terbaik dalam perlawanan seterusnya apabila melihat keadaan Arifuddin," katanya.

Muhammad Arifuddin murid Sekolah Kebangsaan Sungai Binjai, Meru, Klang dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada Februari lalu berikutan keadaan sel kanser yang semakin merebak dan biji mata kiri yang tersembul (kanser Sarcoma).

Sumber: MyMetro