Asrama Tahfiz Di Sepang Terbakar


SEPANG - Sekumpulan murid tahfiz yang sedang bersiap untuk menunaikan solat tahajud terpaksa lari menyelamatkan diri apabila asrama penginapan mereka terbakar, pagi semalam.

Dalam kejadian jam 4.40 pagi di Jalan Burhan, Kampung Gincing itu, sebuah bangunan dengan dua unit asrama yang menempatkan 42 murid tahfiz Sekolah Rendah Islam Integrasi Qurratul Ain terbakar seratus peratus manakala, sebuah lagi bangunan pejabat berdekatan terbakar 30 peratus.

Difahamkan, kejadian berlaku apabila semua 42 murid berusia antara lapan hingga 12 tahun sedang bersiap sedia untuk menunaikan solat tahajud di surau berdekatan.

Guru Besar Norlida Rasidi berkata, beliau bersyukur kerana semua pelajarnya selamat dan tidak cedera.

Katanya, buat masa ini, semua pelajar menumpang sementara di bangunan kelas di sekolah berkenaan sementara menunggu bangunan baru dibina.

“Kami sudah memaklumkan kepada ibu bapa pelajar mengenai kejadian ini malah, kami juga berharap ada pihak tampil untuk menghulurkan sebarang bantuan terutama kelengkapan tidur.

“Setakat ini, kami sudah menerima beberapa bantuan daripada orang ramai termasuk penduduk kampung,” katanya.

Sumber: MyMetro