PETALING JAYA - Keresahan pengendali skuad bawah 22 tahun (B-22) negara, Datuk Ong Kim Swee sedikit terubat apabila pasukan Pulau Pinang sedia melepaskan seorang atau dua pemainnya yang perlu melapor diri ke kem latihan pusat pada Rabu.
Pengurusnya, L Katherisan ketika dihubungi mStar Online pada Selasa berkata keputusan mengenai pemain yang akan dilepaskan akan dibincangkan selepas tamat perlawanan Liga Super menentang PKNS FC di Stadium Batu Kawan, malam Selasa.
"Kita akan adakan satu mesyuarat sebaik tamat aksi menentang PKNS malam ini. Kita mungkin akan lepaskan seorang atau dua pemain," katanya.
Ditanya mengenai nama pemain yang akan dilepaskan, Katherisan bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenainya.
"Anda akan tahu selepas mesyuarat malam nanti. Buat masa ini kita tengah fokus untuk perlawanan malam ini," katanya.
Tiga pemain Harimau Kumbang yang dipanggil untuk memperkuat skuad B-22 negara adalah Syamer Kutty Abba, S Kumaahran dan Jafri Firdaus Chew.
Sebelum ini, Katherisan berkata pasukan itu tetap dengan pendirian untuk tidak melepaskan tiga pemain mudanya bagi menjalani latihan pusat skuad B-22 menjelang aksi persahabatan menentang B-22 Myanmar di Stadium Shah Alam, Khamis ini.
Menurut beliau, pasukan itu amat memerlukan khidmat ketiga-tiga pemain yang dipanggil untuk memperkuat skuad B-22 negara.
Pada Isnin, pengurus skuad B-22 negara, Datuk Mohd Yusoff Mahadi mengharapkan ihsan pasukan Pulau Pinang dan Pahang untuk melepaskan pemain yang dipanggil demi kepentingan negara.
"Kita faham masalah yang dihadapi Pulau Pinang dan Pahang tapi kita sudah bagi ruang kepada mereka sehingga 12 Julai ini. Kita harap mereka juga fikir untuk membina pasukan yang kuat kita perlukan pemain-pemain terbaik di negara kita," kata Mohd Yusoff.
Selepas mengharungi aksi persahabatan menentang skuad B-22 Myanmar, anak buah Kim Swee atau lebih dikenali sebagai Skuad Projek Sukan SEA akan bertolak ke Bangkok untuk kelayakan Kejohanan AFC B-23 bermula dari 19 hingga 23 Julai ini.
Senarai panggilan pemain Skuad B-22:
Kedah: Ifwat Akmal Chek Kassim, Ariff Farhan Md Isa, Farhan Roslan, Syafiq Ahmad dan Amirul Hisyam Awang Kechik.
Pulau Pinang: Syamer Kutty Abba, S Kumaahran dan Jafri Firdaus Chew.
Selangor: Adam Nor Azlin dan Syahmi Safari.
Pahang:Matthew Davies dan Nor Azam Abdul Azih.
Johor Darul Ta'zim:Safawi Rasid dan Naziq Nadzli.
Felcra FC: Adib Zainudin dan N Thanabalan.
Felda United: Danial Amier Norhisham.
Kuala Lumpur: Irfan Zakaria.
Sarawak: Tommy Mawat Bada.
Perak: Ahmad Khairil Anuar Zamri.
JDT II: Syazwan Andik Ishak.
PKNP FC: Syazwan Zaipol Bahari.
Terengganu: Amierul Hakimi Awang.
T-Team: Arif Fadzillah Abu Bakar.
PJ Rangers: Raphi Azizan Mariappen.
Kelantan: Danial Ashraf Abdullah.
Sumber: Mstar Online