UNGKU Ismail memberitahu terpaksa melanggar prinsipnya untuk tidak bersentuhan dengan bukan mahramnya dalam drama terbaharu, Dendam Aurora.
Menurut Ungku, pantang itu dilanggar kerana dia perlu melakukan beberapa adegan peluk dan bersentuhan dengan Nabila Huda bagi menjayakan drama yang diadaptasi dari sebuah karya Itali tu.
“Selama ini saya elakkan adegan peluk dan bersentuhan kerana bagi saya ia tidak perlu pun. Memadailah sekadar menunjukkan kemesraan dalam lakonan.
“Tapi untuk Dendam Aurora ini, berbeza sedikit kerana saya tahu ia memerlukan adegan yang intim.
“Jadi terpaksa jugalah, jika tidak jalan ceritanya akan lari dari cerita asal. Tapi apa yang kami lakonkan ada batasnya dan sesuai untuk tontonan masyarakat,” katanya, memetik mStar Online.
Walau bagaimanapun katanya, dia sudah meminta izin suami Nabila untuk melakonkan babak intim tersebut.
“Saya sudah mendapatkan izin suami Nabila, dia juga faham tugas kami sebagai pelakon,” katanya.
Tambah Ungku, dia akan tetap mengekalkan prinsip tersebut untuk drama lakonannya pada masa akan datang. -Kedahnews.com