ALOR SETAR - Bandar Baharu merupakan pengeluar asal durian Duri Hitam yang kini tular di kalangan peminat durian di serata dunia dan dianggap sebagai durian terbaik daripada pelbagai jenis durian yang terkini.
Meskipun ada yang beranggapan kononnya durian Duri Hitam berasal dari Balik Pulau, namun hakikatnya Bandar Baharu merupakan pengeluar utama yang mencakupi 90 peratus pasaran durian istimewa itu.
"Seperti yang kita maklum, Duri Hitam sangat terkenal di Balik Pulau. Ada yang beranggapan bahawa durian Duri Hitam ini datangnya dari Balik Pulau.
"Tapi hari ini di Bandar Baharu, di kawasan Dun (Dewan Undangan Negeri) saya, di sinilah terletaknya 37 hektar sebuah dusun kepunyaan Mr Heng, yang telah diusahakan sejak 30 tahun yang lalu dan kini menghasilkan durian klon terbaru, Duri Hitam.
"90 peratus Duri Hitam dalam pasaran negara adalah daripada Bandar Baharu," katanya kepada Kedahnews.com di dusun durian Serene Ochard, Bukit 90 Relung, Permatang Kerat Telunjuk, yang terletak di Bandar Baharu, Kulim, hari ini.
Justeru itu, Norsabrina berbesar hati menjemput semua peminat durian sama ada di dalam atau di luar negara supaya datang ke Bandar Baharu untuk menikmati sendiri keenakan durian Duri Hitam yang kini dianggap terbaik berbanding jenis-jenis durian yang lain.
Menurut beliau, ramai pengunjung yang hadir ke dusun berkenaan termasuk selebriti, pelakon, pemimpin dan jurnalis antarabangsa mendakwa durian Duri Hitam adalah durian terbaik di Malaysia ketika ini.
Exco Kerajaan Negeri itu juga berhasrat untuk menjadikan Duri Hitam sebagai produk agro-pelancongan dan menjadi ikon utama yang mengharumkan nama Dewan Undangan Negeri (Dun) Bandar Baharu ke serata dunia.
"Kita mahu Bandar Baharu menjadi pengeluar terbesar durian Duri Hitam untuk pasaran dalam dan luar negara.
"Dengan kerjasama Jabatan Pertanian dan kepakaran Mr Heng, kita dapat memberi manfaat dan membantu pengusaha dusun-dusun durian tradisional di Bandar Baharu untuk meningkatkan lagi pengeluaran Duri Hitam di sini.
"Secara tidak langsung, taraf sosio-ekonomi penduduk Bandar Baharu akan meningkat dan Bandar Baharu juga akan menjadi hub durian terbaik dan terbesar di dunia," ujar beliau.
Justeru itu, Norsabrina berbesar hati mempelawa para peminat durian di dalam dan luar negara supaya datang ke Bandar Baharu untuk menikmati sendiri keenakan durian Duri Hitam tulen yang kini tular keenakannya di serata dunia.
"Kepada penggemar durian, durian lover, durian fan dan durian crazy, the best durian in the world, kena mai Bandar Baharu," katanya. - Kedahnews.com