Bangkit Atau Bersiap Sedia Digugur


"BANGKIT atau bersiap sedia untuk digugurkan". Itu amaran pengendali PDRM, Fauzi Pilus kepada penyerangnya, Dao Bakary selepas aksi hambarnya beberapa perlawanan sebelum ini.

Menurut Fauzi, prestasi merudum pemain kelahiran Ivory Coast itu dikesan selepas pusingan kedua Liga Malaysia (Liga-M) yang menyebabkan The Cops  sukar mencari rentak kemenangan.

Justeru, beliau mengharapkan Bakary untuk kembali menunjukkan kualiti yang setimpal jika mahu kekal bersama pasukan musim depan.

"Untuk pemain import saya memang harapkan pemain yang komited dan bersungguh-sungguh menjalankan tanggungjawab untuk pasukan seperti dilakukan oleh Safuwan Baharudin (pemain kelahiran Singapura).

"Bakary (Dao) jelas menunjukkan ketumpulan beliau dalam beberapa perlawanan sebelum ini dan ini menyebabkan kami tidak boleh terlalu bergantung kepadanya.

"Sekarang saya hanya mahukan beliau tunjukkan kembali kualiti yang setimpal, jika tidak kami terpaksa melakukan rombakan dalam usaha untuk meningkatkan persembahan pasukan secara keseluruhan," katanya.

Dalam pada itu, Fauzi turut meminta pemain lain untuk meningkatkan kekuatan mental dan emosi dalam perlawanan bertemu Kuala Lumpur hari ini bagi membolehkan Cops kembali mencatat keputusan yang positif dalam saingan liga.

Sumber: Sinar Harian