KUALA LUMPUR - Seorang bapa merayu orang ramai untuk membantu mengesan anak gadisnya yang dipercayai hilang selepas keluar bersama seorang lelaki di Selayang, dekat sini Sabtu lalu.
Menurut bapa gadis itu, Mohamad Fadel Ayob, 54, anak keempatnya Nur Liayana, 22, tidak pulang dari rumah keluarganya selepas keluar dengan rakan lelakinya bernama Naim kira-kira pukul 8.30 malam.
“Biasanya dia akan kembali ke rumah pada pukul 10 malam namun sehingga lewat malam dia tidak pulang. Saya cuba menghubungi dan mencarinya di sekitar ibu negara tetapi semuanya menemui jalan buntu.
“Namun pada keesokan harinya kira-kira pukul 3 petang saya berjaya menghubunginya dan Nur Liayana memberitahu dia berada di Stesen Bas Amanjaya, Perak selepas bermalam di rumah rakannya di Rawang untuk tinggal bersama rakannya bernama Farah untuk mencari kerja,” katanya ketika dihubungi.
Jelas Mohamad Fadel yang merupakan bapa kepada lima orang anak, dia ada meminta anaknya untuk memberikan lokasi untuk bertemu namun sehingga kini Nur Liayana gagal menghantarnya.
Menurutnya, satu laporan telah dibuat di Balai Polis Bercham, bagi membolehkan pihak berkuasa mencari anaknya itu hari ini kira-kira pukul 12.40 pagi.
Tambahnya, orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubunginya di talian 03-61277328 atau 017-3200827.
Sumber: Utusan Online