Baru 18 Tahun Dah Jadi Stokis Pil Kuda


POLIS menemui dan merampas sebanyak 2,200 biji pil kuda dengan nilai pasaran RM22,000 serta menahan seorang remaja berusia 18 tahun dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Batin, Seberang Takir, Kuala Nerus, kelmarin.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Superintendan Suffian Sulaiman berkata, serbuan dilakukan selepas polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu menjejaki dan melakukan intipan selama dua bulan terhadap suspek.

"Ketika serbuan dilakukan jam 12 tengah hari pada 3 Julai lalu, suspek didapati sedang tidur dan hasil pemeriksaan di rumahnya, kita menemui sebanyak 2,200 biji pil kuda yang diletakkan dalam beg plastik dan disimpan di tepi katil bilik tidurnya.

"Ujian urin ke atas suspek adalah negatif dan kita percaya dia hanyalah 'stokis' yang ditugaskan untuk mengedar pil berkenaan. Suspek juga tiada rekod kesalahan lampau.

"Kita percaya ada tokey lebih besar dan polis sudah pun mengenal pasti serta sedang menjejakinya," katanya pada sidang media di IPD Kuala Terengganu, hari ini.

Menurutnya, polis percaya pil kuda berkenaan adalah untuk edaran di kawasan sekitar bandar raya Kuala Terengganu.

"Kita percaya pil kuda ini dibawa masuk dari negara jiran untuk diedarkan di bandar raya ini," katanya.

Sumber : MyMetro